Anugerah PFA: Pertikaian berterusan

Oleh Shaukei Kahar 28 April 2019 4899
Anugerah PFA: Pertikaian berterusan
1) Ederson atau Alisson?
2) Mane lebih baik daripada Salah?
3) Kenapa Pogba?
4) Tiada Son Heung-min?
5) Tiada Hazard jua?

Majlis Anugerah Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) akan berlangsung di London malam ini (awal pagi esok waktu Malaysia), namun pertikaian terhadap hasil undiannya masih berlanjutan.


Begitupun, tiada apa-apa yang mampu mengubah keputusan akhirnya, cuma akhbar Daily Mirror menyimpulkan lima persoalan di atas sekadar untuk mewakili pandangan peminat Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlawanan dengan undian pemain-pemain profesional.

Soalan tambahan: Kenapa Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA mahupun Pasukan Terbaik Tahunan PFA menarik minat ramai berbanding beberapa anugerah lain yang seumpama dengannya – antaranya Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Bolasepak (FWA), Pemain Terbaik Tahunan Peminat Bolasepak (FPY) dan Pemain Terbaik Tahunan Persekutuan Penyokong Bolasepak (FSF)?

Anugerah PFA rata-rata dianggap pemain sebagai yang paling berprestij kerana ia dipilih berdasarkan undian pemain-pemain profesional dalam kempat-empat divisyen Liga Inggeris – ringkasnya mereka memilih yang terbaik dalam kalangan mereka sendiri.

Setiap pemain dikehendaki menamakan dua pemain terbaik pilihan masing-masing kecuali pemain daripada pasukan mereka sendiri dalam undian yang dilakukan di antara hujung Februari dan awal Mac lalu.

Contohnya, pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, menamakan Raheem Sterling sambil penyerang Manchester City itu pula memberi undinya kepada penyerang Tottenham, Harry Kane.

Sebagai mencerminkan peri pentingnya anugerah itu, Teddy Sheringham (Spurs) yang memenanginya pada 2001, menyimpulkannya sebagai anugerah peribadi terbesar yang mampu dimiliki dalam permainan ini.

John Terry (Chelsea) yang meraihnya pada 2005 pula merumuskan: “Ia adalah pengiktirafan tertinggi untuk diundi oleh pemain-pemain profesional yang anda hadapi setiap minggu.”

Senarai Pasukan Terbaik Tahunan PFA yang dikeluarkan awal pagi kelmarin adalah seperti berikut: 

Penjaga gol: Ederson (Manchester City).

Pertahanan: Trent Alexander-Arnold (Liverpool), Virgil Van Dijk (Liverpool), Aymeric Laporte (Manchester City), Andy Robertson (Liverpool).

Tengah: Paul Pogba (Manchester United), Bernardo Silva (Manchester City), Fernandinho (Manchester City).

Serangan: Sergio Aguero (Manchester City), Raheem Sterling (Manchester City), Sadio Mane (Liverpool).

Daripada senarai pendek enam pemain untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA yang turut menampilkan Bernardo Silva, Sterling, Aguero, Mane dan Eden Hazard pula, Van Dijk tampil pemenang sambil rakan sepasukannya, Alexander-Arnold, diuar-uarkan memenangi Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA.

Berbalik kepada lima persoalan awal tadi, Daily Mirror berpendapat mana-mana di antara penjaga gol City, Ederson, atau penjaga gol Liverpool, Alisson, sememangnya layak.

Skuad kebangsaan Brazil lebih mempertaruhkan Alisson tapi ia menjadi rezeki Ederson dalam Pasukan Terbaik Tahunan PFA kali ini.

Bagi calon di barisan serangan pula, Mohamed Salah telah menjaringkan 19 gol, kurang satu di pihak Mane, tapi dibandingkan dengan pencapaian musim lalu, ayam tambatan dari Mesir itu – yang dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan PFA 2018 -- ditakrifkan sedikit merosot.

Dalam pada itu, Pogba pula mungkin tersenarai sekadar untuk pemilihan kali ini menjadi buah mulut ramai – dan tidak lebih daripada itu hingga ramai responden Daily Mirror menghukum anugerah PFA kali ini langsung tiada kredibiliti. Kasihan Pogba tak?

Hakikat bahawa anugerah tahun ini didominasi City dan Liverpool dianggap berlaku kejam terhadap Tottenham, khususnya Son yang melangkaui 20 gol dalam semua kejohanan musim ini, termasuk tiga golnya yang menembusi City dalam kedua-dua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Pada masa yang sama, ramai peminat, kebanyakannya di pihak Chelsea, terkedu dengan ketiadaan Eden Hazard dalam senarai yang mengulangi nasib buruknya tahun lalu. Tambah menyakitkan hati, tempat yang sepatut miliknya itu diberikan kepada Pogba.

Apapun, pemain-pemain profesional dalam Liga Inggeris sudah bersuara menerusi undian mereka dan kita pula hanya mampu menonton majlis anugerahnya.

FAKTA NOMBOR

Hanya Mark Hughes (1989 dan 1991), Alan Shearer (1995 dan 1997), Thierry Henry (2003 dan 2004), Cristiano Ronaldo (2007 dan 2008) dan Gareth Bale (2011 dan 2013) pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA sebanyak dua kali.

Thierry Henry (2003 dan 2004) dan Cristiano Ronaldo (2007 dan 2008) hanya dua pemain yang memenanginya secara berturut-turut.

Daripada kesemua mereka, cuma Alan Shearer memenanginya dengan dua kelab berbeza, Blackburn (1995) dan Newcastle (1997).

Tiga pemain memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan dan Pemain Muda Terbaik Tahunan PFA pada tahun yang sama -- Andy Gray (1977), Ronaldo (2007) dan Bale (2013).


Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen