Angin baharu di ISN

Oleh Rizal Hashim 6 March 2018 724
Angin baharu di ISN
Institut Sukan Negara (ISN) baru-baru ini membuka pintunya kepada wakil Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) untuk meninjau kemudahan terkini di institut berkenaan. 

Ini disusuli pula dengan ISN mempelawa wakil persatuan sukan kebangsaan yang berdepan cabaran membentuk kontinjen mantap ke Sukan Komanwel bulan depan dan Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Bermula sebagai unit perubatan di Kementerian Belia dan Sukan pada 1977 sebelum dikembangkan menjadi bahagian sains sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) pada 1984, dinaik taraf sebagai institut pada 1994 dan seterusnya diberi kuasa autonomi mengikut Akta ISN 2011, fungsi ISN lebih bersifat di sebalik tabir.

Sehinggalah model sukan baharu diperkenalkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, pada 2015 yang membuka ruang kepada ISN menjadi peneraju Program Podium.

Sejak asal, ISN lebih cenderung berfungsi di sebalik tabir, sama ada daripada sudut kajian sains sukan mahupun perubatan sukan, baik ketika diketuai Ketua Unit Perubatan Sukan, Unit Sains Sukan, Pengarah dan seterusnya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sejajar dengan kewujudan Akta ISN.

Teras aktivitinya lebih bersifat perubatan sukan yang diterajui Dr Noordin Darus dan Dr Ahmad sebelum saintis sukan Dr Jabar Johari menerajui ISN selaku pengarah seketika sehingga Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kembali daripada melanjutkan pelajarannya.

Untuk seketika, Datuk Ahmad Shapawi Ismail adalah pegawai birokrat pertama menjawat tugas CEO sebelum kerusi itu diisi semula Dr Ramlan sehingga Datuk Dr Khairi Zawi menjadi saintis sukan pertama menjadi CEO ISN pada 2016.

Berbanding Pengerusi ISN pertama, Datuk Dr Mohd Zin Bidin, yang tidak menerima pendedahan berprofil tinggi di sebalik kedudukannya selaku ketua pegawai perubatan Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), dua pengerusi Lembaga ISN seterusnya adalah tokoh politik yang memahami dugaan dalam mengurus persepsi.

Datuk Seri Norza Zakaria mengisi kerusi itu untuk dua penggal sebelum Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dilantik oleh Khairy.

Bekas timbalan presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang juga Setiausaha Kewangan Kriket Melayu sejak 1996, Abdul Azim, adalah tokoh perbankan yang disegani.

Selain menganggotai Panel Penasihat Sukan (SAP) yang ditugaskan menggubal semula Akta Pembangunan Sukan 1997, Abdul Azim dilantik menjadi ketua kontinjen negara ke Sukan Asia di Jakarta-Palembang Ogos nanti dan dicanang sebagai antara calon terbaik menduduki kerusi timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Meneliti latar belakang Abdul Azim, genap 59 tahun Julai nanti, cukup menarik. 
 
Anak Melayu pertama diberi mandat memegang jawatan utama dalam Institut Bank Simpanan Dunia (WSBI) yang berpusat di Brussels, Abdul Azim turut bergiat aktif dalam bidang saham amanah dan pernah menduduki jawatan Presiden Persatuan Saham Amanah Malaysia dari 1998 hingga 2003. Beliau juga diamanahkan sebagai ahli kepada jawatankuasa penggerak Persatuan Dana Pelaburan Antarabangsa (IIFA) yang berpusat di Montreal; jawatan yang dipegang sehingga sekarang.
 
Kepetahan berucap sebagai ahli politik juga diperagakannya di pentas antarabangsa seperti di School of Advanced International Studies di John Hopkins University (Washington DC); Forum Ekonomi Dunia (Davos), di mana beliau adalah antara tenaga yang menubuhkan New Asian Leaders Network selain Singapore Institute of International Affairs dan di Suruhanjaya Sekuriti Thailand.
 
Secara profesional, Abdul Azim adalah felo Chartered Institute of Secretaries, United Kingdom.
 
Namun, cabaran yang menanti Abdul Azim yang berkelulusan Ijazah Sarjana (Business Law) dari Universiti London Guildhall, United Kingdom, tidak dapat dipelajari di mana-mana universiti, institusi kewangan mahupun pentas antarabangsa.
 
Sekalipun ISN dilihat lebih terbuka dan mesra pengguna serta media dengan adanya Abdul Azim, institut itu berdepan cabaran membelah ombak tinggi sepanjang 2018 dengan tugasan menyediakan hala tuju program elit menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast bulan depan dan disusuli misi Sukan Asia.
 
Dalam membawa angin baharu, ketenangan dan ketrampilan Abdul Azim dituntut dalam meniti gelora ini.
 

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen