Anak muda rebut kemasyhuran!

Oleh Nafis Abdullah 12 June 2018 1511
Anak muda rebut kemasyhuran!
Piala Dunia 2018 bakal melakukan sepak mula dalam masa beberapa hari lagi, dimana tuan rumah, Russia, akan berdepan Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan tirai di Stadium Luzhniki, Moscow, pada Jumaat ini.

Saingan Piala Dunia edisi ke-21 pastinya bakal menjadi pentas buat beberapa pemain muda untuk menyinar dan menarik perhatian beberapa kelab besar di Eropah. Jika nama seperti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Marcus Rashford serta Gabriel Jesus disebut-sebut sebagai calon untuk memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik, terdapat beberapa bakat baru yang bersedia untuk memberikan cabaran bagi mengikut jejak langkah pemenang edisi 2014, Paul Pogba.

Apa yang paling penting, setiap pemain itu harus berusia tidak lebih 21 tahun ketika aksi pertama di Russia dimulakan, sekaligus nama seperti Timo Werner, Leroy Sane, Marco Asensio dan Delé Alli terkeluar daripada senarai.



Rodrigo Bentancur (Uruguay)

Walaupun berdepan persaingan tinggi di Juventus, Bentancur telah melakukan 20 penampilan di pentas Serie A musim 2017/18 pada usia 20 tahun. Pemain tengah bertahan ini hadir ke Itali dari Boca Juniors pada 2015 dan sehingga kini, dia telah meraih enam penampilan bersama skuad senior Uruguay.



Ismaila Sarr (Senegal)

Berusia 20 tahun, Sarr telah menjadi watak penting dalam skuad kebangsaan Senegal dan kini merupakan pertaruhan utama untuk mengemudi pasukannya mengulangi kejayaan ke suku akhir Piala Dunia 2002. Dia mencuri perhatian Barcelona pada musim panas lalu, namun memilih untuk berhijrah ke Stade Rennais dari Metz, sebelum membantu Les Rouges menduduki tangga kelima saingan Ligue 1. Sangat pantas dan boleh beraksi dalam pelbagai posisi, Sarr sentiasa menunjukkan keinginan tinggi untuk menggelecek benteng lawan bagi mencipta jaringan.



Daniel Arzani (Australia)

Selaku pemain termuda dalam kejohanan, pemain kelahiran Iran ini memilih untuk memperkuatkan skuad Socceroos berbanding menyarung jersi skuad bimbinga Carlos Queiroz. Pada usia 19 tahun, Arzani telah menggondol anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan dan menyertai Kesebelasan Terbaik Tahunan bagi Liga-A Australia, sekaligus membuatkan banyak pihak mahu melihat kelibat pemain yang mempunyai kemahiran licik di atas padang ini.



Youri Tielemans (Belgium)

Belgium tampak memiliki lambakan bakat baru sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kini, Youri Tielemans menjadi nama seterusnya untuk membarisi skuad muda negara yang berada pada ranking ketiga dunia itu. Berbekalkan kepantasan dan kekuatan fizikal, kebolehan Tielemans beraksi selaku pemain tengah bertahan dan menyerang pastinya memberikan kelebihan untuk dirinya menyerlah di Russia.



Kasper Dolberg (Denmark)

Dilihat sebagai salah satu bakat muda terbaik pernah dimiliki Denmark, Dolberg menuju ke Russia pada usia 20 tahun. Dia telah membuktikan kemampuannya beraksi di pentas besar setelah menjaringkan gol pertama di arena antarabangsa ketika saingan kelayakan, tahun lalu. Dolberg juga merupakan penyerang utama buat AFC Ajax ketika muncul naib juara Liga Europa musim 2016/17.



Dávinson Sánchez (Colombia)

Sanchez baru berusia 21 tahun tetapi kini sudah menjadi tonggak utama buat Tottenham Hotspur dan Colombia. Kehadirannya telah mengimbangi purata usia yang tinggi dalam skuad kendalian Jose Pekerman. Merupakan rakan sepasukan Dolberg ketika Ajax beraksi di final Liga Europa, dia menjadi pemain terbaik kelab Belanda itu pada musim tersebut. 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen