Amirah senjata rahsia Malaysian Tigress

Oleh 30 March 2018 1710
Amirah senjata rahsia Malaysian Tigress
Nama penyerang muda skuad hoki wanita negara, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, pastinya akan menjadi bualan pemain-pemain negara luar pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April ini.

Mungkin gergasi-gergasi hoki wanita dunia seperti Australia, England, New Zelaand dan India tidak pernah melihat corak permainan Amirah apatah lagi untuk mendengar nama penyerang negara berusia 18 tahun ini.

Saya sendiri tertarik melihat perkembangan prestasi dan bakat besar dimiliki penyerang yang berasal dari Kulim, Kedah ini.

Apa tidaknya, gaya permainan Amirah menunjukkan bahawa dia tidak takut untuk menentang pemain-pemain lebih senior dan selain mempunyai larian deras, dia memiliki satu pukulan reverse yang padu.

Dan itulah sebenarnya keistimewaan Amirah.

Walaupun bermain untuk pasukan MSN Kedah dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia baru-baru ini tetapi ia tidak menghalang Amirah untuk menjaringkan gol demi gol dengan keseluruhan sembilan gol.

Malah dia pernah menjaringkan gol ke atas juara baharu Piala Vivian May Soars 2018, Blue Warriors dan bekas juara Liga Hoki Wanita Malaysia 2017, Pasukan Hoki Wanita Terengganu pada kempen musim ini.

Kecemerlangan itu membuktikan kenapa ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah mahukan khidmatnya dalam barisan 18 terbaik menghadapi Sukan Komanwel kali ini.

Sukan Komanwel 2018 akan menjadi kejohanan antarabangsa pertama buat Amirah yang cuma pernah dibawa mengikuti Jelajah Belanda bermain beberapa siri perlawanan antarabangsa pada tahun lepas.

Sebelum berlepas ke Gold Coast baru-baru ini, Amirah sudah membuktikan ketajaman penyudahnya dengan meledak gol dalam tiga perlawanan berturut-turut ketika aksi persahabatan menentang skuad bawah 21 tahun Jepun di Bukit Jalil.

Kelmarin, Amirah sekali lagi membuktikannya dengan menjaringkan satu gol membantu skuad negara menang 4-2 ke atas New South Wales Institute of Sports (NSWIS) dalam aksi pemanas badan di Gold Goast.

Jika Amirah dapat mengekalkan momentum sekarang, saya percaya dia akan menjadi senjata utama skuad negara menghadapi cabaran dalam Kumpulan A menentang England, India, Afrika Selatan dan Wales.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen