Alexis Sanchez bawa gelora ke Man United (2)

Oleh Hafizal Hamad 19 February 2018 6248
Alexis Sanchez bawa gelora ke Man United (2)
Perpindahan Alexis Sanchez ke Manchester United tidak diniatkan untuk melukakan hati Paul Pogba, sebaliknya itulah yang berlaku – baik di dalam mahupun di luar padang.

Ejen super pemain, Mino Raiola, turut berhabis-habisan dalam ikhtiarnya memastikan gaji Pogba – yang diwakilinya – tidak diatasi oleh bekas pemain Arsenal itu tetapi ternyata gagal.

Antara usaha Raiola ialah menggunakan tukaran Henrikh Mkhitaryan – juga pemain yang diwakilinya – dari Manchester United ke Arsenal demi memastikan Sanchez tidak mendapat gaji lebih besar daripada Pogba, yang sehingga tahun lalu adalah pemain termahal di dunia dengan tanda harga £89 juta (RM486 juta) dari Juventus.

Rata-rata dilaporkan bahawa Sanchez menerima £500,000 (RM2.73 juta) seminggu yang mengangkatnya selaku pemain bergaji paling besar di Manchester United ketika ini.

Dengan perjanjian empat setengah tahun yang bernilai kira-kira £14 juta (RM76.5 juta) setahun, Sanchez berpeluang meraih £50 juta (RM273 juta) selepas ditolak cukai pada penghujung kontraknya nanti.

Tidak cukup dengan kekecewaan habuan itu, perpindahan Sanchez bermakna Pogba harus memikul peranan lebih bertahan di barisan tengah United seperti dituntut Mourinho demi membuka lebih banyak ruang buat pemain antarabangsa Chile itu di barisan serangan.

Juga telah banyak dilaporkan bahawa Pogba langsung tidak gembira dengan perkembangan itu hingga mungkin mendorongnya untuk membuat tuntutan berpindah pada akhir musim ini jika Mourinho
enggan mengubahsuai taktik pasukan dengan kemahuannya.

Wartawan bola sepak tersohor England, Duncan Castles, mendedahkan: “Ia bukanlah satu kebetulan semua ini berlaku sejak ketibaan Alexis Sanchez ke Manchester United.

“Saya dimaklumkan Mino Raiola menghabiskan banyak masa ketika perpindahan Sanchez. Sudah tentulah dia (Raiola) terbabit sama kerana pelanggannya, Henrikh Mkhitaryan, akan dipindahkan sebagai pertukaran.

“Raiola turut bertanyakan berapakah gaji Sanchez di Manchester United dalam memastikan ia tidak akan lebih besar daripada gaji Pogba,” katanya dalam episod The Transfer Window Podcast.

Castles menambah: “Jelas ada elemen ‘status’ dalam pasukan United. Dan ia diberitahu kepada saya bahawa Pogba harus mengendurkan sedikit egonya bagi meluangkan kepada kemasukan Sanchez, yang ditampilkan sebagai pembelian bintang sama seperti ketika Pogba tiba di kelab ini.

“Begitu juga dengan penyesuaian formasi, yang pada pandangan Pogba, perlu mengalah kepada Sanchez, yang memaksanya bermain sedikit ke belakang berhampiran barisan pertahanan. Jelas ia tidak menggembirakannya.”

Seolah-olah ketika ini, Sanchez adalah anak emas sambil Pogba perlu banyak mengalah.

Apakah Sanchez yang gembira dan Pogba yang berduka baik untuk United dan keharmonian pasukan keseluruhannnya?

 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen