Alexis Sanchez bawa gelora ke Man United (1)

Oleh 19 February 2018 15145
Alexis Sanchez bawa gelora ke Man United (1)
Didatangkan sebagai “penyelamat”, Alexis Sanchez sebaliknya membawa bersamanya masalah memeningkan buat Jose Mourinho di Manchester United. 

Bintang Chile itu tiba dengan penuh penghormatan di Old Trafford akhir bulan lalu – dia diberikan jersi legenda No. 7 yang diwarisi daripada antaranya David Beckham, Eric Cantona dan Cristiano Ronaldo -- selepas satu saga perpindahan yang berlarutan.

Dengan kontraknya semakin berpenghujung di Stadium Emirates, beberapa kelab saling berebut untuk mendapatkan tandatangan bekas bintang Barcelona itu, dengan ramai mengandaikan dia akan memperbaharui ikatan bersama Pep Guardiola di Manchester City.

Sebaliknya, The Red Devils berjaya mengatasi semua pesaing dengan tawaran kontrak ‘tidak masuk akal’, dengan Sanchez bersetuju dengan gaji sekitar £500,000 (RM2.73 juta) seminggu yang mengangkatnya selaku pemain bergaji paling besar di Manchester United ketika ini.

Tawaran sebenar buatnya ialah perjanjian empat setengah tahun yang bernilai kira-kira £14 juta (RM76.5 juta) setahun.

Sebagai galang ganti, United turut menawarkan Henrikh Mkhitaryan sebagai tukaran dan juga ‘gula-gula’ agar Arsenal bersetuju melepaskan Sanchez.

Ia turut bermakna penyerang berusia 29 tahun itu adalah pemain keempat termahal di planet ini selepas Lionel Messi, Neymar dan Cristiano Ronaldo.

Menurut majalah mingguan bola sepak Sepanyol, Don Balon, ia segera menjadi punca kepada terjejasnya keharmonian dalam bilik persalinan United sejak ketibaannya.

Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic dan David de Gea kesemuanya dilaporkan tidak senang hati dengan gaji yang ditawarkan kepada Sanchez pada ketika mereka turut mengharapkan kenaikan.

Walaupun belum lagi ada sebarang konfrontasi di antara pemain-pemain bintang berkenaan, Jose Mourinho sentiasa sedar ia umpama bom jangka yang menanti untuk meledak – dengan kemerosotan mendadak Pogba antara petanda awal rasa tidak senang hati yang berlaku.

Sanchez, sebaliknya, sedang menikmati detik-detik awalnya bersama United.

Laporan-laporan di England mencadangkan pemain pelarian Arsenal itu sangat gembira dengan layanan yang diterima di kelab barunya dan berasa dia dialu-alukan.

Dengan gaji sebesar itu dan kepercayaan besar Mourinho terhadapnya… masakan tidak!

Rupa-rupanya ada banyak perkara yang tersirat daripada apa yang tersurat tanpa diketahui bagaimana kesudahannya – sama ada perpindahan Sanchez akan membawa United rahmat atau musibat.

(BERSAMBUNG)
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen