Aksi sentimental bekas produk Ajax

Oleh Nafis Abdullah 30 April 2019 5522
Aksi sentimental bekas produk Ajax
Awal pagi esok bakal menyaksikan pertemuan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah musim ini di antara dua pasukan yang bukan pilihan utama, Tottenham Hotspur dan Ajax.

Jika Spurs mencipta sensasi dalam  suku akhir apabila melepasi halangan Manchester City walaupun tanpa penggempur utama, Harry Kane, yang mengalami kecederaan, Ajax tentunya menampilkan kejutan lebih besar sebelum melangkah ke kelompok empat terbaik.

Kebangkitan menakjubkan di Santiago Bernabeu dengan kemenangan 4-1 ke atas Real Madrid ketika pusingan 16 diteruskan oleh anak buah Erik Ten Hag itu dalam suku akhir susulan kejayan menewaskan pasukan yang berpaksikan Cristiano Ronaldo, Juventus.

Justeru, pertemuan awal pagi esok pastinya menjanjikan saingan yang tidak mampu dijangka memandangkan kedua-dua pasukan memiliki helah tersembunyi sehingga dapat membenam beberapa gergasi Eropah.

Bagaimanapun, aksi di Stadium Tottenham Hotspur nanti semestinya mencetuskan elemen berbeza buat empat pemain Spurs.



Christian Eriksen, Toby Alderweireld, Jan Vertonghen dan Davinson Sanchez masing-masing pernah menyarung jersi Ajax dan tidak dinafikan, karier mereka mula menyerlah sejak tampil di Johan Cruyff Arena.

Paling terkesan sudah tentu Sanchez kerana dia merupakan tonggak utama Ajax sewaktu melangkah ke final Liga Europa dua tahun lalu sehingga membolehkannya melengkapkan perpindahan ke London dan bergelar pemain termahal Spurs dengan harga GBP42 juta (RM225 juta).

Sejak kehadiran Sanchez ke kem Spurs, dia tidak menunggu lama untuk menjadi pilihan utama Mauricio Pochettino untuk membentuk gandingan mantap di benteng bersama Vertonghen dan Alderweireld.

Hasilnya, Spurs kini bergelar pasukan ketiga terendah gawang dibolosi dengan 36 gol, berada di belakang dua calon pemenang Liga Perdana Inggeris, Liverpool dan City, walaupun kini masih bergelut untuk mengesahkan kedudukan empat terbaik.

Berbeza dengan Sanchez, tempoh Alderweireld, Eriksen dan Vertonghen di Ajax lebih berjaya memandangkan mereka pernah menjulang kejuaraan Eredivisie lebih daripada sekali.



Mungkin empat pemain itu mampu membocorkan muslihat Ajax berdasarkan pengalaman sewaktu di Belanda, namun mereka juga tetap perlu berwaspada dengan semangat barisan muda lawan itu.

Darah muda dalam skuad kendalian Ten Hag itu pastinya berkeinginan tinggi untuk terus mencipta kejutan, lebih-lebih lagi mereka berpeluang untuk menjulang kejuaraan ‘treble’ kerana kini berada di landasan tepat menjuarai Liga Juara-Juara, Liga Eredivisie dan Piala KNVB.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen