AJAX FABULOUS-so!

Oleh Hafizur Saleh 17 April 2019 1483
AJAX FABULOUS-so!
Ini bukan iklan berbayar mengenai bahan pencuci lantai tetapi adalah berkenaan sebuah kelab yang berpangkalan di Belanda, iaitu Ajax Amsterdam.

Ya benar...Ajax tanpa disangka-sangka telah melakar satu kejutan besar dalam pertandingan tertinggi kelab bola sepak Eropah apabila mengesahkan tempat dalam separuh akhir Liga Juara-Juara bagi musim 2018/19 mengatasi kelab dihuni pemain ternama dunia, Cristiano Ronaldo, Juventus, awal pagi tadi.

Sebenarnya, perjalanan Ajax dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini lebih panjang dan berliku berbanding lawannya. Ketika Juventus mendapat slot automatik kerana muncul juara Serie A musim lalu, sebaliknya pula buat Ajax.

Bergelar naib juara Eredivisie, Ajax terpaksa melalui saingan kelayakan terlebih dahulu kerana tiada kuota automatik diberikan kepada Liga Belanda. Situasi sebaliknya buat Serie A (Itali), La Liga (Sepanyol), Bundesliga (Jerman) dan Liga Perdana (England).

Selepas berjaya melepasi kelayakan pusingan kedua, ketiga dan play-off, Ajax diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Bayern Munich, Benfica dan AEK Athens. Pada peringkat ini, Ajax tampil cemerlang apabila tidak sekalipun tewas dan muncul naib juara kumpulan di belakang Bayern Munich.

Perjalanan mencabar Ajax diteruskan di peringkat 16 apabila diundi bertemu juara bertahan yang juga juara tiga kali berturut-turut sejak 2015/16, Real Madrid. 

Tewas 1-2 dalam aksi pertama, Ajax dengan gah bangkit mengatasi ego Real 4-1 di Santiago Bernabeu, sekali gus mengakhiri gelaran juara Real yang berusia 1,011 hari.

Bertemu Juventus dalam aksi suku akhir, statistik di atas kertas sebenarnya tidak memihak Ajax, malah tidak berpeluang langsung untuk menang kerana daripada 13 pertemuan sebelum ini, Ajax hanya menang dua kali -- itupun kali terakhir dalam final Piala Eropah pada 1973.

Tetapi siapa sangka, Juventus yang mempunyai rekod lebih baik dalam saingan Eropah, diikat 1-1 dalam suku akhir pertama, sekali gus meninggalkan penentuan pasukan mana akan ke separuh akhir dalam aksi suku akhir kedua.

Ketika media antarabangsa memberikan tumpuan kepada Ronaldo yang dikatakan akan menjadi kunci kepada kemenangan Juventus, pemain-pemain Ajax membuktikan sebaliknya.

Dibarisi pemain yang berpurata berumur 24 tahun, mereka berjaya bangkit walaupun terlebih dahulu dibolosi Ronaldo. 

Memetik ciapan daripada laman Twitter rasmi Juventus, mereka turut mengakui keunggulan dimiliki barisan pemain-pemain muda ini. 
 
Malah, warga Twitter turut terkesima dengan corak permainan yang dipersembahkan Ajax dalam perlawanan itu.

Diharapkan AJAX mampu menampilkan aksi sama dalam perlawanan separuh akhir nanti kerana peminat bola sepak dunia mengharapkan mereka beraksi dalam final, sekali gus meraih kejuaraan buat kali kelima.
Tiba-tiba teringat lagu ini...’AJAX fabuloso…di sini…di sana..AJAX FABULOUS-so’…



 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen