Air mata Ratu Pecut

Oleh 8 April 2018 5824
Air mata Ratu Pecut
Tanpa jurulatih, Zaidatul Husniah Zulkifli tetap berjaya mengulangi sejarah 20 tahun lalu.

Siapa sangka, walaupun penyertaannya hanya disahkan pada saat akhir ditambah tanpa M Balamurugan yang tidak mendapat kad akreditasi - namun ia tidak menghalang pecutan Zaidatul.

Dia berjaya layak ke separuh akhir acara 100m dengan catatan 11.61 saat - pencapaian legenda pecut negara, G Shanti pada 1998.

"Saya hadiahkan kejayaan ini untuk jurulatih di tanah air," kata Zaidatul sambil menitiskan air mata.

Memang, situasi ini biasa berlaku dalam arena sukan negara.

Atlit dan jurulatih bukan keutamaan walaupun mereka yang bertanding. Mohon Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menilai adakah individu yang dibawa ke Gold Coast benar-benar bertugas atau buat-buat sibuk.

Berbalik kepada Zaidatul, saya sempat menghubungi Balamurugan.

"Saya menetapkan dua sasaran iaitu untuk pecah rekod kebangsaan (11.50s) dan layak ke separuh akhir. Saya gembira dia berjaya capai sasaran kedua dan kami akan berusaha lebih gigih untuk melakukan sesuatu pada Sukan Asia Indonesia," katanya.

Kadang-kala impian untuk menggembirakan seseorang akan menjadikan kita lebih kuat.

Contohnya atlit angkat berat negara, Mohd Fazrul Azrie Mohdad yang raih gangsa kategori 85kg walaupun seminggu sebelum berangkat ke Gold Coast, dia belum pasti dapat beraksi ekoran kecederaan tulang belakang.

Sepanjang minggu pegawai Institut Sukan Negara merawat Fazrul dan memantau sesi latihan. Dia tetap berkeras untuk ke Gold Coast walaupun belum pulih sepenuhnya namun berjaya raih gangsa.

"Tuhan tolong saya. Pingat ini hadiah untuk ulang tahun kelahiran ibu dan adik saya yang bakal lahir tidak lama lagi," katanya.
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen