Air mata negara, air mata keinsafan

Oleh Hafizal Hamad 19 September 2016 93
Air mata negara, air mata keinsafan
Tanggal 11 September 2016 mungkin tak mahu diingati dunia, terutamanya Amerika Syarikat yang terus meratapi  tragedi ranapnya bangunan ikonik berkembarnya, World Trade Centre di New York.

Tapi tidak bagi kita orang Malaysia. Tarikh itu datang dalam suasana penuh emosi. Tarikh itu hadir buat kita seharusnya merenung sejenak tentang nilai sebuah pengorbanan.

Sebelum pergi lebih jauh, terima kasih, terima kasih, terima kasih dari kita semua rakyat Malaysia buat kontingen Paralimpik negara.

Emas pertama Paralimpik yang disumbangkan Ridzuan Puzi @ DikWan seolah-olah menghimpunkan kita semua atas nama rakyat untuk duduk berbangga di atas satu landasan. Tidak cukup dengan itu, datang lagi emas daripada Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly dan gangsa Siti Noor Radiah Ismail.

Kita rakyat Malaysia seolah-olah dikejutkan dengan "bom" kesedaran oleh mereka ini. Kita seolah-olah dikirimkan mesej penting betapa mereka juga perlu diberikan pujian tidak terhingga di atas apa yang telah mereka bawa dan berikan buat kita dari bumi Rio.

Saya sekeluarga menangis mengenangkan apa yang telah dipamerkan kalian semua. Anak-anak saya, Ilham dan Dariss, serta isteri saya berpelukan meraikan kejayaan penuh bermakna ini.

Keesokan harinya ketika masih dalam ‘mood’ bercuti, saya dikejutkan dengan panggilan video daripada Dikwan. Saya menangis lagi. Dihantarnya pula mesej berbunyi "Abg datang tau dekat airport". Luar Biasa! Itu saja yang mampu dititipkan.

Buat jurulatih yang juga "bapa" atlit-atlit para negara, pengorbanan R. Jeganathan terlalu besar. Tinggalkan anak yang akan berkahwin, kemalangan yang hampir membuatnya lumpuh dan perginya Allahyarham Mohd Azlan Mat Lazin -- ia dirangkumkan untuk saya letakkan Encik Jeganathan insan penuh dengan segala-galanya.

Encik Jeganathan, yang asalnya dari Kampung Alor Semadom, rumahnya pula berhampiran padang Hospital Rangers di Alor Setar, sewajarnya diangkat sebagai wira yang perlu didendang.

Saya tak mampu lagi untuk terus menaip di kala air mata jatuh lagi mengenangkan apa yang telah dilakukan kalian semua.

Air mata ini air mata Malaysia, air mata keinsafan buat kita semua.

DikWan dan lain-lain, abang tunggu hangpa di Lapangan Terbang, Khamis ni. Abang nak peluk hangpa, Abang nak hangpa tahu, kami rakyat Malaysia tak sabar nak tunggu hangpa balik.

Budak Kulim
Subang Jaya 
1.59am
19 September 2016

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen