Adios Kita Ucapkan, Fernando Torres!

Oleh Burn Thevandran 27 August 2019 847
Adios Kita Ucapkan, Fernando Torres!
Penyerang sensasi berasal dari Sepanyol, Fernando Torres, telah mengumumkan persaraanya daripada arena bola sepak secara rasmi selepas 18 tahun bergelar pemain profesional. Pemain berusia 35 tahun itu menamatkkan kariernya bersama pasukan dari liga Jepun, Sagan Tosu di mana Torres melakukan penampilan terakhir di saat pasukannya tewas 1-6.

Pemain kelahiran  Fuenlabrada itu mula menempa nama bersama pasukan Atletico Madrid dan selepas hampir enam tahun bersama skuad remaja Atletico Madrid, Torres akhirnya menyertai skuad senior di mana beliau melakukan 214 penampilan dan meledakkan 82 gol.

Dengan tekad mahukan cabaran baru, Torres yang turut dikenali dengan gelaran El-Nino berhijrah ke Anfield dan selama empat musim bersama Liverpool, beliau meledakkan 65 gol dalam 102 penampilan. Jodoh Torres tidak berpanjangan bersama Liverpool apabila beliau menyertai Chelsea pada 2011 dan di sini dilihat prestasinya sudah mula tidak konsisten. Walaupun begitu, beliau masih mampu meledakkan 20 gol bersama The Blues sebelum dipinjamkan ke AC Milan dan Atletico Madrid.

Jepun merupakan destinasi terakhir Torres sebelum bersara dan beliau mendapatkan penghargaan yang sepatutnya apabila diraikan seluruh penyokong Sagan Tosu dalam perlawanan terakhirnya.

Untuk rekod, Torres juga sudah meledakkan 38 gol di peringkat antarabangsa bersama Sepanyol. Secara tidak langsung, kerjaya Torres dilihat sempurna apabila sudahpun merasai kejayaan menjulang Piala Eropah selain Piala Dunia bersama Sepanyol pada 2010.

Persaraan Torres pastinya membuatkan ramai peminat bola sepak mengimbau aksi menariknya di depan gawang gol. Paling diingati sudah tentu gol pertamanya bersama Liverpool apabila beliau meledakkan gol sewaktu berdepan Chelsea, selain hatrik bersama skuad kebangsaan Sepanyol sewaktu berdepan New Zealand.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen