Adakah juara UCL dari Liga Perdana Inggeris?  

Oleh Burn Thevandran 14 March 2019 5176
Adakah juara UCL dari Liga Perdana Inggeris?  
Saingan Liga Juara-Juara Eropah sudah memasuki peringkat suku akhir dimana lapan pasukan terbaik berjaya melayakkan diri dan akan diundi semula untuk menentukan lawan masing-masing. Paling mengejutkan pada pusingan 16, beberapa nama besar seperti Real Madrid, PSG, Bayern Munich dan Borussia Dortmund tersingkir kepada lawan mereka.

Los Blancos gagal memanfaatkan kelebihan 2-1 pada perlawanan pertama, apabila diratah tenaga muda Ajax 4-1 di Santiago Bernabeu sekaligus menyaksikan mereka hanya perlu fokus kepada saingan La Liga yang berbaki 11 perlawanan.

PSG pula seperti biasa, pasukan mewah yang tidak mempunyai mentaliti juara, hanyut dibuai rasa megah dan akhirnya mereka tumbang ditangan pasukan yang beraksi serba kekurangan akibat kecederaan pemain, Manchester United. Tiada apa lagi yang boleh diperjuangkan PSG apabila tersingkir di Liga Juara-Juara Eropah memandangkan saingan Ligue 1 sudah pasti jadi milik mereka untuk musim ini.

Bagi dua wakil Jerman, Bayern Munich dan Borussia Dortmund, mereka disingkirkan oleh dua wakil England, Tottenham Hotspurs dan Liverpool yang memang berhak layak berdasarkan kualiti yang dimiliki. Spurs menang 4- 0 secara agregat, dan Liverpool menang 3-1.

Satu lagi wakil England, Manchester City mudah membelasah Schalke 04 10-2 dengan kemenangan bergaya 7-0 pada perlawanan kedua, secara tidak langsung menyaksikan empat wakil dari England berada di suku akhir.

Penulis percaya, andai momentum seperti ini dapat dikekalkan, tidak mustahil juara UCL musim ini akan hadir dari pasukan Liga Perdana Inggeris. Cuma mereka harus berhati-hati dengan empat lagi pasukan iaitu Barcelona, Juventus, Ajax dan juga Porto.

Ajax melakukan kejutan menewaskan Real Madrid dan kehadiran mereka tidak boleh dipandang rendah. Porto pula cemerlang menidakkan cabaran AS Roma manakala kehadiran Barcelona dan Juventus bukanlah asing di peringkat kalah mati.

Lapan pasukan terbaik, empat dari England, satu dari Sepanyol, Itali, Portugal dan Belanda. Pilihan penulis, salah satu pasukan dari Liga Perdana Inggeris akan menjadi juara, apa pula pilihan anda?
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen