700? 800 pun Ronaldo boleh capai

Oleh Ammar Hakim 16 October 2019 1219
700? 800 pun Ronaldo boleh capai
Cristiano Ronaldo sekali lagi memahat namanya dalam dunia bola sepak selepas menjaringkan gol ketika berdepan Ukraine dalam saingan kelayakan Euro 2020. Ia merupakan jaringan ke-95 untuk Portugal dan yang ke-700 sepanjang karier untuk kelab dan skuad kebangsaan.

Mana tidak hebatnya, hanya lima pemain yang berjaya menjaringkan lebih daripada 700 gol dalam sejarah bola sepak -- legenda Brazil, Pele (767) dan Romario (772), Josef Bican (805), Ferenc Puskas (746) dan Gerd Muller (735) (planetfootball.com).

Pecahan rekod jaringanya menyaksikan 605 gol terhasil daripada beberapa kelab yang berbeza -- Sporting Lisbon (5), Manchester United (118), Real Madrid (450) dan Juventus (32) dan selebihnya ketika menyarung jersi Portugal.

444 gol diledak menggunakan kaki kanan, 126 dengan kaki kiri manakala Ronaldo menanduk 128 gol dan dua lagi jaringan terhasil menggunakan dada.

Kini sudah mencecah usia 34 tahun serta makin kerap direhatkan kerana mengalami kecederaan, ramai yang berpandangan prestasi Ronaldo semakin menurun serta menyatakan mustahil untuknya mencapai 800 gol.

Tiada apa yang mustahil buat Ronaldo.

Halangan utama Ronaldo untuk mencapai 800 gol adalah usianya. Ramai yang berpendapat tempoh bermainnya semakin singkat dan terhad di peringkat tertinggi, masa juga semakin suntuk untuk memecahkan rekod itu.

Bagi pemain yang 'biasa', secara puratanya mencapai kemuncak prestasi pada pertengahan umur 20-an dan mula menurun apabila mencecah 30-an dan apabila mencapai usia 34-35 tahun, mereka sama ada bersara atau berhijrah ke saingan yang kurang kompetitif berbanding kekal di Eropah.

Bagaimanapun, komitmen Ronaldo di luar dan dalam padang menjadikan dirinya seorang yang luar biasa.

Berdasarkan sejarah bola sepak, prestasi pemain merudum mengikut usia tetapi Ronaldo seperti watak fiksyen, "Benjamin Button", yang seolah-olah menjadi lebih muda setiap tahun yang berlalu.

Rejim latihan dan penjagaan fizikal di tahap optimum menjamin dirinya untuk terus beraksi cemerlang walaupun sudah menjangkau tahun ke-18 bergelar pemain profesional.

Penerbitan sukan Sepanyol, AS, mendedahkan satu kajian terhadap Ronaldo mendedahkan bahawa dia mempunyai indeks lemak badan berusia 20 tahun. Ini bukanlah satu kejutan buat mereka yang mengikuti perkembangannya di media sosial.

Seperti wain, Ronaldo semakin berkualiti dengan usianya.

Bekas pemain Manchester United itu berusia 30 tahun pada tahun 2015 dan dia masih lagi menjaringkan 57 gol dalam 57 penampilan.
Dalam dua musim berikutnya, dia masih lagi menjaringkan 50 gol dan bilangan jaringannya turun kepada 49 pada 2018 apabila kurang beraksi bersama skuad kebangsaan dan menyesuaikan diri dalam liga baru (Serie A).

Tahun ini Ronaldo berjaya menjaringkan 27 gol dalam 35 penampilan, kurang lapan daripada jaringan keseluruhan Lionel Messi (35 dalam 43 penampilan).

Pemain kelahiran Madeira itu juga memiliki rekod cemerlang terhadap kecederaan yang dialami. Kadar pemulihannya yang luar biasa bermakna dia mampu kembali di tahap terbaik lebih cepat berbanding pemain-pemain lain.

Memiliki sifat seorang pemenang, tidak mustahil Ronaldo akan kekal beraksi dalam tempoh empat tahun lagi dan dengan kecenderungannya meledak gol, kita hanya perlu menunggu sahaja apabila tiba masa untuk dia menjaringkan gol yang ke-800.

Dominasi Juventus dalam saingan Serie A adalah sesuatu yang sukar ditandingi mana-mana pasukan di Itali sementara Portugal memiliki skuad yang mampu melakar kemenangan mudah dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan Euro.

Lebih daripada 10 pasukan Eropah yang kerap kali dibelasah pasukan elit dunia dan Portugal berkemungkinan bakal diundi dalam kumpulan yang sama bagi saingan kelayakan. Perlawanan ini semestinya menawarkan peluang untuknya menambah lagi koleksi jaringannya.

Walaupun Juve bukanlah pasukan yang dikenali dengan pasukan yang kerap meledak banyak jaringan atas faktor corak permainan di Itali, namun Ronaldo semestinya mencari jalan untuk sekurang-kurangnya mencetak 25 gol dalam beberapa musim lagi bersama The Old Lady.

Sepanjang karier Ronaldo, dia hanya memiliki satu misi untuk menjadi nombor satu.

Ronaldo adalah seorang manusia yang bencikan kekalahan dalam apa sahaja yang dilakukannya.

Ini diceritakan oleh bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Patrice Evra, bahawa Ronaldo akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya, termasuk dalam permainan ping pong.

"Ada satu hari dia bermain ping pong bersama Rio Ferdinand dan dia kalah, kami semua bersorak dan dia sangat tidak gembira.

"Kemudian dia minta sepupunya untuk beli meja ping pong, dia berlatih untuk dua minggu di rumah dan kembali untuk kalahkan Rio di depan semua orang.

"Itulah dia Cristiano Ronaldo. Jadi, saya tak hairan hari ini kenapa dia mahu menang satu lagi Bola Emas, kenapa dia mahu menang Piala Dunia. Kerana dia adalah seorang yang mengejar kesempurnaan," kata Evra menerusi goal.com.

Komitmen terhadap satu permainan yang diambil secara serius, apatah lagi matlamatnya sebagai pemain bola sepak.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen