2 Hari Nak Sampai Brazil!

Oleh Yeoh Li Ying 12 August 2016 164
2 Hari Nak Sampai Brazil!
Pejam celik pejam celik sudah 10 hari saya berada di bumi Rio de Janeiro. Jauh sungguh perjalanan yang terpaksa saya dan krew Astro Arena harungi sebelum menjejakkan kaki di bumi Brazil. 

Perjalanan 12 jam dari Kuala Lumpur ke Amsterdam sebelum meneruskan penerbangan untuk 12 jam lagi ke Rio de Janeiro. Cukup penat untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan masa selama 11 jam. Bayangkan jam 8 pagi di Malaysia di Rio pula jam 9 malam sehari sebelumnya. Cuaca yang sejuk juga menjadi antara salah satu cabaran di sini. 

Sejujurnya, cukup takut dan gementar dengan pelbagai laporan di media sosial berikutan isu keselamatan dan kesihatan yang melanda negara di Amerika Selatan ini. Terfikir berkali-kali juga nak datang ke sini. Maklumlah, lebih 16000 kilometer dari Malaysia! 

Memang di dalam hati apabila diberikan peluang oleh bos saya untuk membuat liputan di Sukan Olimpik, pentas tertinggi temasya sukan dunia, berkobar-kobar hendak datang! Siapa tak nak, peluang sebegini hanya hadir 4 tahun sekali. 

Walaupun kontinjen Malaysia hanya dibarisi 32 atlit namun tabik hormat, barisan kali ini cukup berkualiti. Permulaan hambar beberapa hari temasya sehinggalah pingat Perak berjaya dijelmakan dua puteri terjun negara, Pandelela Rinong / Cheong Jun Hoong awal pagi Rabu waktu Malaysia. Kami di pusat penyiaran antarabangsa (IBC) di Rio terpacak di depan kaca televisyen menyaksikan detik penuh bersejarah ini. Tahniah Pandelela & Jun Hoong, semoga anda sahut cabaran untuk membutirkan pingat kedua di temasya kali ini.

Bagaimanapun tetap ada rasa kecewa terhadap skuad recurve memanah kali ini. Acara berpasukan dan individu, semuanya terkandas awal. Tiada alasan untuk tidak beri persembahan terbaik memandangkan mereka menjalani sesi latihan di Korea Selatan sebelum ke Rio. Apa sudah jadi? Itu persoalan perlu dijawab.

Kita ketepikan isu ini dan terus fokus kepada misi seterusnya di Rio yang masih belum selesai. Sukan badminton yang sedang berlangsung ketika ini diharap mampu menjelmakan pingat dan tidak lupa juga kepada berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.

Buat anda di tanahair, kami tetap akan berikan yang terbaik buat tatapan anda di rumah, teruskan bersama Astro Arena 801 dan juga saluran berdefinisi tinggi, 802 sepanjang temasya Sukan Olimpik Rio berlangsung. #AyuhMalaysiaku
 

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen