1 lawan 4

Oleh 17 May 2017 125
1 lawan 4
SAH! Datuk Lee Chong Wei perlu mengharungi empat pemain Tembok Besar China jika mahu mendakap kejuaraan sulung dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Senarai akhir yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam menyaksikan Chong Wei bakal dicabar oleh juara dunia lima kali, Lin Dan, juara bertahan, Chen Long serta dua lagi pemain China, Shi Yuqi dan Tian Houwei.

Realitinya ia cukup sukar buat Chong Wei yang terus kempunan gelaran juara dunia walaupun sudah empat kali layak ke final (2011, 2013, 2014 dan 2015) dengan kesemuanya sekadar kedua terbaik. Dan kekalahannya adalah di tangan dua jaguh China, Lin Dan (2011 dan  2013) dan Chen Long (2014 dan 2015).

Walaupun bakal tampil selaku pilihan utama di Glasgow, ia bukan tugas mudah. Selain Tembok Besar China, dua jaguh Denmark, Viktor Axelsen dan Jan O Jorgensen serta pemain Taiwan, Chou Tien Chen, harus diberi perhatian.

Sejujurnya, selaku peminat badminton, saya mahu melihat mahkota juara di Glasgow nanti menjadi milik Chong Wei, dengan ini mungkin peluang terakhirnya dalam beradu nasib dalam Kejohanan Dunia ekoran faktor umur yang akan mencecah 35 tahun Oktober depan! 

Cukup perit menyaksikan kekalahan demi kekalahan Chong Wei di pentas final walaupun kita semua tahu dia memiliki kesemuanya (pengalaman, bantuan sains sukan, jurulatih dan sistem sokongan). 

Cuma yang mungkin jadi pemisah adalah kekurangan pemain muda negara yang mampu memberi cabaran buat Chong Wei sepertimana yang dimiliki China, Denmark dan Hong Kong yang akan mempunyai tiga wakil di Glasgow! 

Strategi dan percaturan sudah pasti akan direncana negara masing-masing selepas undian yang dijangka dilakukan tidak lama lagi.

Jika perseorangan lelaki bakal menyaksikan pertarungan hebat, saingan dalam perseorangan wanita hilang seri selepas pemain no.1 dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying, menarik diri ekoran fokus kepada Sukan Universiade yang akan berlangsung di negaranya Ogos depan.

Kebanyakan atlet dari Asia Tenggara turut menarik diri ekoran tumpuan kepada Sukan SEA yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, juga pada Ogos nanti. 

Rata-ratanya merupakan atlet dari Thailand seperti Busanan Ongbamrungphan, Nitchaon Jindapol (perseorangan wanita), Bodin Isara dan Nipitphon Phuangphuapet (beregu lelaki), Puttita Supajirakul -Sapsiree Taerattanachai, Rawinda Prajongjai-Jongkolphan Kititharabul (beregu wanita), Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, Bodin Isara-Savitree Amitrapai (beregu campuran).

Lihat saja senarai tersebut menggambarkan betapa komited pemain dari Thailand untuk mengejar emas dalam Sukan SEA dalam misi mereka membantu Negara Gajah Putih itu untuk terus muncul juara keseluruhan temasya. 

Malaysia juga tidak kurang hebatnya apabila tiada seorangpun perseorangan wanita dihantar ke Glasgow, dengan Goh Jin Wei akan mengetuai cabaran negara dalam aksi perseorangan wanita dalam Sukan SEA nanti.

Kita harapkan barisan kejurulatihan serta kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu membuat keputusan tepat dalam menghantar barisan pemain ke Kejohanan Dunia dan barisan atlet yang akan berjuang dalam Sukan SEA nanti kerana maruah dan reputasi Malaysia jadi taruhan!

Bagi pengamatan saya sendiri, mungkin hanya Chong Wei, beregu lelaki (Goh V Shem-Tan Wee Kiong) serta beregu campuran (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ataupun Tan Kian Meng-Lai Pei Jing) patut dihantar ke Glasgow dan selebihnya fokus kepada misi emas dalam Sukan SEA nanti!


Pemain negara yang layak ke Kejohanan Dunia 2017 (berdasarkan senarai yang dikeluarkan BWF) : 

Perseorangan Lelaki : Lee Chong Wei dan Zulfadli Zulkiffli

Beregu Lelaki : Goh V Shem-Tan Wee Kiong

Perseorangan Wanita : -

Beregu Wanita : Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen

Beregu Campuran : Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing
 
Nota Kaki : *2014 - Gelaran naib juara dunia Lee Chong Wei di Copenhagen, Denmark ditarik balik ekoran kegagalan ujian doping.

Tentang Penulis

Tawaran Menarik

Komen