Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli, menyerahkan surat rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menerusi peguamnya hari ini bagi mengurangkan hukuman penggantungan selama 20 tahun selain denda RM98,000 atas tuduhan mengatur perlawanan.

Sehubungan itu, Zulfadli menyifatkan hukuman 20 tahun itu terlalu berat.

Dia ditemani ahli keluarga ketika tiba di pejabat peguam di Bukit Kiara hari ini untuk menghantar surat rayuan kepada BWF.

Tindakan itu bagi mencabar keputusan panel bebas BWF yang bersidang di Singapura Februari lalu, dengan hujah bahawa BWF tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.

"Sebetulnya, tarikh akhir rayuan itu adalah pada malam esok, bukannya hari ini.

"Sudah tentu, dari awal lagi kami sudah memaklumkan kepada BWF bahawa kami akan membuat rayuan.

"Sebelum ini, tidak timbul apa-apa kekeliruan kerana kami berhubung terus dengan BWF tetapi isu ditimbulkan oleh sesetengah pihak media yang mengatakan peluang saya sudah tertutup kerana kami tidak membuat rayuan.

"Kami lebih tahu dan sudah pun menghantar surat rayuan kepada BWF sebentar tadi," ujarnya.

Awal bulan ini, Zulfadli dan seorang lagi perseorangan profesional negara, Tan Chun Seang, didapati bersalah oleh panel bebas BWF kerana mengatur perlawanan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan enam kejohanan sejak 2013 hingga 2016.