Zulfadli sedia berdepan jaguh China, Lin Dan

Oleh Shaiful Shamsudin 8 Mac 2017
 Zulfadli sedia berdepan jaguh China, Lin Dan
Laluan getir menanti pemain negara, Zulfadli Zulkifli, apabila bakal bertemu penyandang juara edisi lalu dari China, Lin Dan, dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Seluruh England, malam ini.

"Saya sedar semua pemain utama ada di sini dan dari awal-awal lagi sudah tahu akan bertemu dengan Lin Dan dalam pusingan pertama. 

"Saya akan membuat kajian lebih mendalam dan bersedia untuk bertemunya," katanya. 

Semalam, Zulfadli berkesempatan mengadakan latihan bersama dengan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, dan secara tidak langsung menerbitkan perasaan positif menjelang pusingan pertama. 

"Tidak ada apa yang boleh dipelajari sangat (dalam latihan bersama Chong Wei). Cuma ia memberi saya lebih kesempatan untuk fokus dan menyesuaikan diri dengan keadaan di dalam stadium. 

"Latihan bersama Chong Wei membuat saya lebih bersedia untuk perlawanan nanti," tambahnya yang sebelum ini terkandas dalam dua edisi pusingan kelayakan.

Zulfadli, yang mara ke pusingan utama kali ini selepas memperbaiki kedudukan rankingnya, berikrar untuk memberi saingan sengit kepada bintang China itu. 

"Saya sudah 110 peratus bersedia dan fokus untuk menghadapi Lin Dan."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen