Zulfadli, Noorazlinda diangkat atlet cemerlang UiTM 2016

Oleh Shaiful Shamsudin 24 Mac 2017
 Zulfadli, Noorazlinda diangkat atlet cemerlang UiTM 2016
Persembahan cemerlang sepanjang 2016 menyaksikan atlet badminton, Zulfadli Zulkiffli, dan Noorazlinda Zakaria daripada sukan boling padang dinobatkan Olahragawan serta Olahragawati sempena Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2016. 

Tiga kejayaan yang diraih pada 2016, antaranya menjuarai Kejohanan Grand Prix (GP) Brazil dan juga GP Russia menyaksikan Zulfadli menjadi pilihan bagi Anugerah Olahragawan. 

Penuntut tahun kedua Diploma Sains Sukan itu mengatasi enam lagi calon, antaranya atlet pelayaran yang juga pemenang tiga kali anugerah ini, Khairulnizam Mohd Afendi. 

Turut mendapat pencalonan, pemain hoki kebangsaan, Meor Muhamad Azwan Hasan dan juga Ezuan Nasir Khan daripada sukan menembak. 

"Saya harap anugerah ini dapat dijadikan batu loncatan untuk saya berlatih lebih kuat lagi dan secara tidak langsung akan memberi keputusan yang bagus dalam karier saya pada masa akan datang," ujar bekas juara remaja dunia itu. 

Sementara itu, Noorazlinda dipilih sebagai olahragawati berdasarkan kepada beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa yang diraihnya, antaranya dua emas dalam Kejohanan Boling Padang Asia di samping pingat perak dalam Kejohanan Hong Kong Klasik. 

Dia yang menuntut dalam jurusan Diploma Pengajian Sukan mengetepikan pencalonan lain termasuk pemenang 2015, Khairuneeta Mohd Afendi, yang beraksi dalam sukan pelayaran selain atlet gimnastik, Nur Eli Ellina Azmi. 

"Saya tak jangka akan menang, walaupun pernah menyimpan impian untuk menang. 

"2016 adalah tahun untuk saya," katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara UiTM dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) turut diadakan dalam mengukuhkan lagi program berkaitan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN). 

Menerusi Perjanjian itu, UiTM akan memberi peluang buat pemain-pemain di bawah PPBN untuk perkembangan dalam kesinambungan karier mereka. 

"UiTM menyediakan satu platform kesinambungan karier pemain-pemain bola sepak yang telah dikeluarkan PPBN untuk membantu karier pemain itu sendiri dan dalam bidang pendidikan," ujar Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen

Baca Selanjutnya

BAM sedia rangka program pemulihan buat Iskandar

By 23 Mac 2017. 12.15 PM