Dua pemain perseorangan profesional negara yang digantung 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kes mengatur perlawanan, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang, kini memiliki 14 hari untuk mempersiapkan kes sebelum menghadap panel rayuan.

Perkembangan itu adalah di bawah peruntukan perundangan BWF bahagian tiga klausa 14 dan 15.

Dalam tempoh 14 hari ini juga, BWF akan membentuk panel rayuan membabitkan tiga individu yang tidak terlibat dengan proses pendengaran sebelum ini.

Menurut Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai, berdasarkan kes yang akan dipersembahkan oleh dua pemain itu, panel rayuan berupaya membatal, meringankan atau menambah hukuman.

Ke hadapan, jika dua pemain itu masih tidak berpuas hati dengan keputusan panel rayuan, maka Zulfadli dan Chun Seang boleh membawa kes itu ke Mahkamah Timbangtara Sukan, bagaimanapun hanya 21 hari selepas panel itu mengeluarkan keputusan mereka.

"BAM ahli gabungan BWF. Banyak perkara yang ingin dimaklumkan kepada mereka akan melalui saluran BAM. BAM ada hak sebagai ahli gabungan dan kami boleh menghantar wakil semasa sidang rayuan nanti.

"Kalau Zulfadli dan Chun Seang menyerahkan rayuan dan jika didapati bersalah, mungkin panel rayuan akan menjelaskan kesalahan dan denda yang dikenakan terhadap mereka.

"Berdasarkan pengetahuan saya, sidang rayuan itu boleh dilakukan secara fizikal, aplikasi Skype atau dokumen bertulis. Ini bermakna Zulfadli dan Chun Seang tidak perlu hadir," katanya.