Setelah mempamerkan aksi memukau ketika kempen kelayakan ke Piala Thomas, Februari lalu, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, bersedia untuk mengulangi prestasi sama dalam pusingan akhir di Bangkok, 20-27 Mei depan.

Zii Jia membuktikan dia berupaya untuk menangani tekanan sebagai perseorangan kedua ketika kempen kelayakan di Alor Setar, Kedah bulan lalu.

Berdasarkan kedudukan semasa, hanya Datuk Lee Chong Wei dan Zii Jia yang sah beraksi dalam kejohanan di Bangkok sementara Izkandar Zulkarnain Zainuddin tampak sudah selangkah mengikut jejak mereka.

"Bagi saya, undian agak bagus buat kami kerana aksi berdepan Denmark tentunya penting buat pemain perseorangan. Kalau boleh, kami harus mendapatkan dua mata dan satu mata diraih daripada beregu. Tiga mata cukup untuk berdepan Denmark," katanya.

Sebagai perseorangan kedua, Zii Jia berupaya menjadi individu yang memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan atau meneruskan perjuangan pasukan negara dalam sesebuah perlawanan.

Lawan yang akan ditempuh Malaysia di peringkat kumpulan adalah Denmark, pasukan yang memiliki ruang untuk mengubah strategi dengan barisan perseorangan mereka.

Kelompok yang dijangka menjadi perseorangan kedua dalam Piala Thomas berdasarkan kedudukan semasa termasuk juara Seluruh England, Shi Yuqi, bintang yang sedang meningkat naik dari Indonesia, Jonatan Christie dan Kento Momota dari Jepun.

"Setakat ini saya rasa sudah bersedia, ditambah dengan kejohanan di China pada April ini. Berdasarkan persembahan di sana nanti, barulah akan dapat dilihat prestasi keseluruhan sebelum Piala Thomas," tambahnya.