Harapan skuad badminton perseorangan negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan dijangka berpanjangan selepas Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Korea Selatan.

Zii Jia ditemui berlatih seperti biasa di gelanggang Akademi Badminton Malaysia tetapi setelah ditanya, dia menyatakan rasa terkilan kerana terpaksa melupakan kejohanan Terbuka Korea gara-gara kecederaan.

"Ya, memang saya sudah melakukan persiapan tetapi kecederaan itu mengganggu saya.

"Saya perlu berfikir jauh dan jika tetap beraksi, ia akan memudaratkan lagi tahap kecederaan itu," ujarnya.

Bagaimanapun, Zii Jia menegaskan kecederaan di bahagian belakang badan itu bukan sesuatu yang perlu digusarkan.

Jika diberi lampu hijau oleh pegawai perubatan, maka dia akan kembali menyertai kejohanan, di mana saingan Terbuka Taiwan awal bulan depan menjadi destinasi pertamanya.

"Ia tidak begitu serius tetap kadangkala ia hadir dan mengganggu permainan. Saya rasa ia bukan satu kecederaan berat sehingga tidak boleh bermain atau berjalan.

"Cuma, saya perlu melalui proses pemulihan dan diharapkan segera sembuh untuk kembali dalam saingan Terbuka Taiwan."