Empat hari menjelang Kejohanan Dunia, jurulatih badminton perseorangan negara, Hendrawan, mengatur latihan khas buat pemain utama, Lee Zii Jia, bagi memastikan anak buahnya itu berada di tahap kecergasan fizikal yang baik serta ketahanan mental yang tinggi.

Pengendali itu mengambil langkah menjalani aktiviti mendaki Bukit Broga sebagai latihan dan persiapan terakhir buat pemain berusia 21 tahun itu sebelum berlepas ke Basel, Switzerland, esok.

Dalam masa sama, Zii Jia juga mengakui semakin selesa berada di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Indonesia itu selepas dua minggu menjalani latihan sepenuh masa bersamanya.

Dia akan membuka tirai perlawanan berhadapan wakil Brazil, Ygor Coelho, dalam pusingan pertama.

"Saya rasa ini salah satu program latihan yang datang daripada Hendrawan dan dia mahu saya bergembira sebelum ke Kejohanan Dunia. Kami telah lakukan persiapan selama lebih seminggu. Minggu ini dia mahu saya lebih santai," katanya.

Sementara itu, dia juga menyedari kelemahannya yang gagal mengekalkan aksi konsisten dan perlukan lebih masa untuk memperbaiki kekurangan itu.

"Bagi saya, ini salah satu kelemahan saya. Saya tidak konsisten apabila beraksi, jadi saya cuba perbaiki demi masa depan."