Lee Zii Jia sudah bersedia mengulangi aksi menakjubkan ketika menentang Denmark malam tadi apabila turun berentap dengan Indonesia dalam pusingan suku akhir Piala Thomas di Bangkok, Thailand, malam ini.

Dua kali Zii Jia ketinggalan sewaktu berdepan Hans Kristian Vittinghus untuk kesudahannya meraih kemenangan 21-18, 21-18.

Apa yang luar biasa adalah aksi dalam set kedua memandangkan pada satu ketika dia ketinggalan 6-16 sebelum bangkit semula.

"Saya tidak berputus asa dan hanya terus mencuba. Selalunya kalau saya ketinggalan seperti itu, saya kalah. Tetapi, saya cuba dengan taktikal lain dan ajaibnya, ia menjadi," kata Zii Jia.

Menentang lawan yang memiliki kualiti hampir sama seperti Vittinghus dan Denmark, Zii Jia kini mempunyai semangat yang tinggi untuk mengulangi prestasi tersebut ketika berdepan Indonesia malam ini.

Aksi perseorangan negara ini dilihat sebagai kelebihan buat Malaysia yang diketuai Datuk Lee Chong Wei sementara beregu lebih memihak Indonesia yang memiliki gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernali dan Kevin Sukamuljo.

"Saya sangat gembira dengan persembahan saya. Walaupun ketinggalan jauh, saya tidak berputus asa dan terus mencuba. Saya mendapat keyakinan selepas kemenangan itu," kata Zii Jia lagi.