Perseorangan lelaki negara yang sedang meningkat naik, Lee Zii Jia, tampil dengan imej baru ketika mencari semula sentuhan sebenar untuk Piala Thomas di Bangkok dari 20 hingga 27 Mei ini.

Zii Jia, 19, adalah perseorangan generasi baru negara yang sering tampil dengan 'trend' tersendiri.

Kunjungan krew Nadi Arena di Akademi Badminton Malaysia (ABM), bagaimanapun, melihat perubahan lebih konservatif dilaluinya.

"Saya mahu bermula semula dari awal dan lakukan persiapan untuk Piala Thomas. Sebelum ini,
saya agak bergelut ketika dalam sesi latihan, jadi saya mahu cuba menangani masalah ini
dengan bermula semula," kata Zii Jia.

Berdasarkan ranking semasa, Zii Jia kini berada dalam kelompok ketiga terbaik kebangsaan di belakang Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Ia senario yang tetap boleh dijadikan kelebihan strategi buat ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, ketika Zii Jia lebih dipersiapkan sebagai perseorangan kedua dalam Piala Thomas.

"Kami akan cuba melihat beberapa perkara yang boleh memberikan kebaikan serta keuntungan
kepada pasukan kami. Jadi, apabila pemain-pemain sudah meningkatkan ranking dan prestasi,
ia menjadi petanda yang baik buat pemain lain.

"Saya harap pemain-pemain dapat mengekalkan prestasi sekiranya mereka dipilih," ujar
Misbun.

"Mungkin saya tidak dapat beraksi sebagai perseorangan kedua tetapi saya tetap akan
mempersiapkan diri sebagai perseorangan ketiga," tambah Zii Jia.