Perseorangan negara, Lee Zii Jia, tidak akan puas menjadi pemain nombor satu Malaysia selagi dia masih belum dapat mengecapi gelaran sebagai juara dalam Kejohanan Badminton Kebangsaan yang akan berlangsung di Ipoh, Perak bermula 18 Februari ini.

Tahun lalu, Zii Jia bersama rakan sepasukan yang lain terpaksa melupakan sambutan Tahun Baru Cina apabila berentap dalam Terbuka Switzerland dan perjalanannya terkandas dalam pusingan pertama.

Namun, tahun ini, dia akan pulang ke Kedah meraikan perayaan itu bersama keluarga dan kembali semula beraksi pada 18 Februari untuk Kejohanan Badminton Kebangsaan.

Istimewanya untuk perayaan musim ini apabila Zii Jia bakal pulang dengan gelaran pemain nombor satu negara apabila ranking dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) meletakkannya di tangga ke-28 dunia, mengatasi Liew Darren di tangga ke-29 dan Datuk Lee Chong Wei di tangga ke-31.

"Kami akan bercuti selama lima hari tetapi masih perlu mengekalkan tahap kecergasan kerana terdapat kejohanan yang perlu disertai di Ipoh nanti sementara menantikan slot beraksi dalam Seluruh England," katanya.

Biarpun ranking dunia meletakkan dirinya mengatasi kedudukan pemain berpengalaman dalam negara, dia mahu cuba menggapai impian sebagai juara kebangsaan.

Tahun lalu, Zii Jia hampir lagi mengenggam gelaran itu, namun tewas kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin dalam final.

"Saya belum puas dengan gelaran pemain nombor satu negara, saya berharap meningkatkan lagi ranking saya dalam kelompok lima pemain terbaik dunia," ujarnya.