Zii Jia perlu kerja lebih keras -- Rashid

Oleh Staff Writer 13 Februari 2019 837
Zii Jia perlu kerja lebih keras -- Rashid
Ketika Lee Zii Jia bergelar perseorangan lelaki nombor satu Malaysia, terbit persoalan pemain mana yang memiliki kelebihan dalam saingan tiga penjuru membabitkan Datuk Lee Chong Wei dan Liew Daren dalam perebutan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula dengan saingan Seluruh England.

Chong Wei masih lagi berdepan cabaran menggunung bagi mendapatkan tahap kecergasan untuk kembali ke gelanggang kompetitif susulan rawatan kanser hidung.

Daren pula masih lagi dibelenggu kecederaan pergelangan kaki kiri yang dialami sejak 19 Januari lalu.

Secara tidak langsung, ia merupakan satu kesempatan yang perlu dimanfaatkan Zii Jia menjelang Kejohanan Kebangsaan di Ipoh, Perak dan seterusnya Terbuka Jerman.

"Zii Jia masih muda dan corak permainannya sedang meningkat naik. Tahap keyakinannya dalam gelanggang juga menampilkan peningkatan," kata bekas jurulatih negara, Rashid Sidek.

Bagaimanapun, Rashid berasakan Zii Jia perlu membuktikan ketulenan sebagai nombor satu Malaysia dengan bersandarkan kepada pencapaian dan bukan atas dasar kecederaan kepada pemain lain.

"Zii Jia memerlukan lebih banyak pengalaman sementara tekanan dalam saingan akan membantu mematangkan lagi permainannya. Ia akan memastikan Zii Jia bekerja keras untuk berada pada tahap terbaik," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen