Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, menganggap Hendrawan sebagai watak penting dalam membantu ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, membimbing pemain kebangsaan bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ia susulan pengendali kelahiran Indonesia itu menjadi tulang belakang kejayaan Datuk Lee Chong Wei sejak 2015 selepas menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2009.

Selain itu, Zii Jia menganggap sentuhan Hendrawan mampu membantunya dalam melakar prestasi cemerlang menjelang Tokyo 2020, apatah lagi pemain berusia 21 tahun itu pernah mencipta kejutan memenangi Terbuka Taiwan tahun lalu di bawah bimbingan bekas juara dunia 2001 tersebut.

"Ia adalah kehilangan buat BAM (jika melepaskannya) kerana dia seorang jurulatih yang baik. Kami juga tidak mengharapkan dia kembali ke Indonesia kerana perseorangan kebangsaan masih memerlukannya. Saya harap BAM cuba yang terbaik untuk mengekalkannya," katanya.

Sementara itu, Zii Jia bertekad untuk menggandakan usaha bagi meneruskan kemaraan dalam Terbuka Indonesia bulan depan selepas tewas pusingan pertama dalam Terbuka Australia awal bulan ini.

"Saya harap dapat meraih mata yang banyak untuk kelayakan Olimpik. Mungkin cuba untuk mara ke separuh akhir."