Prospek perseorangan lelaki negara melalui ujian pertama sejak penstrukturan semula program di bawah ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, apabila menghadapi pusingan pertama siri antarabangsa Terbuka Malaysia di Putrajya.

Daripada sembilan pemain kebangsaan yang turun ke gelanggang hari ini, dua pemain menjadi tumpuan, antaranya remaja berbakat, Lee Zii Jia.

Semi finalis GP Emas Terbuka Taiwan 2017 itu memastikan dirinya tidak diaibkan ketika berdepan wakil England, Wang Yuehang.

Susulan kemenangan straight set 21-9, 21-11 dalam tempoh 23 minit, Zii Jia tidak berselindung misi utamanya adalah untuk cuba menjadi sebahagian daripada skuad senior.

"Saya rasa ia sangat penting kerana kita tahu Misbun seorang jurulatih yang baik. Dia yang membawa Datuk Lee Chong Wei mendapatkan pingat perak.

"Saya rasa bangga dapat berlatih dengannya. Saya harap dapat menyertai skuad senior," katanya.

Sementara itu, juara kebangsaan, Lim Chi Wing, juga tidak berdepan masalah mengetepikan lawan dari Indonesia, Andrew Susanto.

Kemenangan straight set 21-10, 21-17 dalam keadaan mengalami kecederaan bahu menyerlahkan semangatnya yang berbeza di bawah Misbun.

Malah, dia akur latihan agresif walaupun baru seminggu menawarkan sesuatu yang positif.

"Latihannya sukar dan panjang, berbeza dengan jurulatih lain. Masanya terlalu panjang untuk saya tetapi saya rasa tahap fizikal saya ada peningkatan.

"Selain tahap fizikal yang bagus, saya juga berasa lebih yakin untuk bermain," katanya.