Tanggungjawab sebagai perseorangan pertama skuad Piala Sudirman negara memaksa Lee Zii Jia untuk mengatasi belenggu prestasi dan mengembalikan kepercayaan peminat sebagai perseorangan lelaki nombor satu Malaysia.

Zii Jia menjadi pilihan merit untuk mengetuai skuad dalam ketiadaan Datuk Lee Chong Wei yang masih belum memperoleh pelepasan daripada pakar perubatan untuk kembali ke gelanggang kompetitif.

Malah, dia juga sudah memiliki pengalaman beraksi dalam saingan berpasukan ketika menjadi perseorangan kedua skuad Piala Thomas 2018.

Meskipun dilimpahi dengan bakat muda serta tidak diberikan tekanan mencapai sasaran tertentu untuk kempen kali ini, Zii Jia tetap menegaskan keperluannya untuk mempamerkan aksi luar biasa.

Aksi peringkat kumpulan bakal menyaksikannya berentap dengan perseorangan dalam kelompok 10 terbaik dunia seperti Shi Yuqi dari China dan K. Srikanth dari India.

"Ini merupakan kempen Piala Sudirman yang pertama buat saya.

"Saya harap boleh menggalas tanggungjawab ini selain mengawal tekanan dengan baik dan mampu mengetuai pasukan kerana acara perseorangan lelaki penyumbang mata pertama.

"Ini penting kerana dua tahun lalu, saya sempat melihat Chong Wei beraksi dan bahangnya terasa," katanya.

Dalam pada itu, dia berasakan satu keputusan tepat untuk tidak menyertai Kejohanan Badminton Asia 2019 (BAC) di Wuhan, China, ketika ini.

Sebelum saingan Piala Sudirman, Zii Jia akan terlebih dahulu membuat penampilan dalam Terbuka New Zealand, bermula 30 April ini.

"Saya perlu berehat kerana sebelum ini terlalu banyak mengikuti kejohanan.

"Saya mengambil masa selama beberapa minggu ini untuk tidak beraksi kompetitif dan ketika ini saya berasa segar.

"Saya harap boleh mencapai keputusan positif ketika di New Zealand," katanya.