Badi kekalahan perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, dalam aksi final berterusan selepas kecundang kepada lawan dari China, Wang Zhiyi, dalam perlawanan akhir Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Pemain berusia 21 tahun dari Ipoh, Perak itu tewas 10-21 dalam set pertama, namun bangkit memenangi set kedua 24-22 untuk melanjutkan pertarungan.

Ying Ying, bagaimanapun, gagal mengekalkan aksi cemerlangnya dalam set ketiga sebelum tewas 14-21 untuk kekalahan ketujuhnya dalam perlawanan akhir.

"Sebenarnya, sudah acap kali saya kalah dalam aksi final, ia perlu diatasi.

"Ia mengenai kekuatan mental, saya perlu tampil lebih yakin," kata Ying Ying.

Turut kecundang dalam aksi final di Stadium Juara Bukit Kiara hari ini ialah pemain perseorangan lelaki negara, Tan Jia Wei.

Bertemu wakil Taiwan, Hsueh Hsuan Yi, juara Terbuka Poland 2017 itu tewas straight set 18-21,19-21 dalam tempoh 47 minit untuk meranapkan impiannya meraih kejuaraan sulung tahun ini.

"Saya tetap berasa gembira dan ia (kemaraan ke final) pencapaian luar biasa.

"Tetapi, saya nampak apa yang perlu dipertingkatkan lagi," katanya.