Kejayaan merampas kembali gelaran Piala Thomas memberikan kelegaan buat ketua jurulatih China, Xia Xuanze, selepas pasukan itu mengalami kemerosotan serta pelbagai kritikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kali terakhir China mendakap Piala Thomas ialah pada edisi 2012 sebelum dihampakan di peringkat separuh akhir dalam dua edisi berturut-turut.

Mereka hadir ke Bangkok dengan status sebagai pilihan pertama, apatah lagi masih dibarisi Lin Dan, pemain segenerasi dengan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Namun, jika Chong Wei masih dikerah tenaganya untuk meraih mata buat Malaysia, Lin Dan tidak perlu menjejakkan kaki ke gelanggang sejak pusingan suku akhir.

Bagi Xuanze, kejayaan ini sama manisnya seperti dia bergelar juara sebagai pemain pada 2004 selepas menggantikan Li Yongbo yang meletak jawatan sebagai ketua jurulatih tahun lalu.

"Saya amat gembira dengan kejayaan ini selepas menunggu selama enam tahun. Malah, ia juga setanding dengan gelaran yang saya menangi pada 2004 dan saya juga harus berterima kasih kepada Li Yongbo di atas segala usahanya," kata Xuanze.

Sementara itu, ketua jurulatih Jepun, Park Joo Bong, mengakui perancangannya menukar gandingan dalam saingan beregu berpunca daripada prestasi tidak menentu dalam bahagian berkenaan.

Begitupun, beliau tetap memuji persembahan keseluruhan skuad Jepun, khususnya perseorangan pertama, Kento Momota, yang tidak tewas sebarang perlawanan di Bangkok selain melepasi sasaran awal pasukan, iaitu separuh akhir.

"Prestasi beregu kami kurang menyerlah, jadi kami mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang berbeza bagi aksi final tetapi perancangan itu tetap tidak menjadi buat kami," kata Joo Bong.