Wakil China sekat hajat Yin Loo

Oleh Staff Writer 18 Januari 2018 474
Wakil China sekat hajat Yin Loo
Impian pemain beregu wanita negara, Lim Yin Loo, untuk mara  lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2018 sebelum menamatkan karier tidak kesampaian apabila terkandas dalam pusingan kedua kepada wakil China.

Tidak banyak yang boleh dilakukan Yin Loo dan gandingannya, Yap Cheng Wen, apabila berdepan dengan pasangan China, Yu Xiaohan-Tang Jinghua, yang turun selaku pilihan ketujuh kejohanan.

Walaupun cuba memberikan tentangan sengit, Yin Loo dan Cheng Wen tewas dengan keputusan straight set 21-14, 21-18.

Bagaimanapun, tiada sebarang kekesalan buat Yin Loo biarpun perlawanan itu adalah aksi terakhirnya sebelum bersara daripada karier sebagai seorang pemain badminton.

“Bukan rezeki saya tetapi saya tidak begitu beremosi. Kini, saya hanya menumpukan perhatian untuk perancangan pada masa akan datang,” kata Yin Loo.

Bagi Cheng Wen, dia menganggap Yin Loo lebih daripada seorang rakan gandingan dan berterima kasih atas segala tunjuk ajar yang diberikan kepadanya.

Sepanjang aksi bersama sejak September 2016, Yin Loo dan Cheng Wen sudah memenangi Terbuka Scotland dan Cabaran Antarabangsa Indonesia serta mencapai kedudukan ranking ke-26 dunia.

“Saya berterima kasih kepadanya kerana memberikan tunjuk ajar untuk mendapatkan keyakinan di atas gelanggang.

“Saya tidak bermain dengan baik pada hari ini kerana sedikit gementar,” ujar Cheng Wen.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen