Pemain badminton beregu wanita negara, Vivian Hoo, ternyata terkesan dengan ketiadaan pasangan lamanya, Woon Khe Wei, yang kembali dibelenggu kecederaan tatkala dia mengharapkan mampu digandingkan semula menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, Mei tahun depan.

Vivian, yang pada awalnya beranggapan mampu kembali menakluki gelanggang bersama Khe Wei, terpaksa melupakan hasrat itu sewaktu jurulatih, Rosman Razak mengesahkan kecederaan membabitkan lutut kanannya berulang.

Situasi itu memberi kesan kepada Vivian kerana sudah lebih tujuh tahun digandingkan bersama Khe Wei dan sememangnya ingin terus mencipta sejarah baru di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mereka mengakhiri temasya berprestij itu dalam suku akhir pada 2016.

Namun, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018 itu percaya dengan perancangan baru yang telah diatur Rosman untuk masa depannya bersama gandingan baru, Yap Cheng Wen.

"Jurulatih telah tetapkan saya akan bergandingan dengan Cheng Wen. Saya telah lama bersama Khe Wei, pada mulanya agak sukar untuk berganding dengan pemain lain tetapi saya perlu segera menyesuaikan diri," kata Vivian.

Vivian dan Cheng Wen, yang baru sahaja bergelar naib juara Terbuka Hyderabad, tidak menolak masih lagi kekok dalam membentuk keserasian di mana perjuangan mereka akan diteruskan dalam Terbuka China dan Korea Selatan hujung bulan ini.

"Saingan di China dan Korea menampilkan pemain-pemain berkualiti. Saingan ini akan menilai kebolehan gandingan saya bersama Cheng Wen."