Pemain perseorangan negara, Goh Giap Chin dan Yap Rui Chen, gagal meneruskan kemaraan selepas tumbang di tangan lawan masing-masing dalam saingan awal Grand Prix Emas Terbuka Switzerland, awal pagi tadi.

Giap Chin tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 11-21, 11-21, dalam pusingan kedua, manakala saingan wanita menyaksikan Rui Chen tumpas 19-21, 15-21, kepada Luise Heim dari Jerman dalam pusingan pertama.

Beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei, bagaimanapun, meneruskan cabaran ke pusingan kedua untuk menjadi wakil tunggal negara yang kekal bersaing hasil kemenangan ke atas pasangan Taiwan.

Pilihan ketiga itu menewaskan Lin Xiao Min-Wu Fang Chien, 21-18, 21-14.

Vivian-Khe Wei bakal berdepan satu lagi beregu Taiwan, Chiang Kai Hsin dan Hung Shih Han, bagi aksi pusingan kedua.

Pasangan beregu lelaki, Muhammad Hafiz Hashim-Mohammed Razif Abdul Latif dan juga Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan itu.

Pemain profesional negara, Tan Boon Heong, yang berganding dengan bekas juara Olimpik dan dunia, Hendra Setiawan, dari Indonesia, memberi tentangan hebat kepada pilihan ketiga, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, dari Denmark sebelum tewas 13-21, 21-15, 14-21.