Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, gagal untuk mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Seluruh England 2017 selepas tunduk di tangan pasangan Korea Selatan, Jung Kyun Eun dan Shin Seung Chan.

Permulaan permainan menyaksikan gandingan Malaysia lebih garang mengasak lawan sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Namun, gandingan Jung Kyun Eun dan Shin Seung Chan bukanlah mudah untuk ditewaskan, apatah lagi diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan.

Mereka berjaya mengheret gandingan Malaysia, Vivian-Khe Wei beraksi dalam rubber set sebelum menyingkirkan pasangan Malaysia, 21-17, 12-21, 17- 21.

"Hari ini kami sudah berikan yang terbaik, dalam set ketiga permainan kami kurang konsisten berbanding lawan. Ini yang menyebabkan kami tewas," ujar Vivian.

Sejurus selepas itu, gandingan beregu campuran negara pula turun untuk mengibarkan cabaran.

Gugup di awal permainan, menyaksikan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas kepada wakil China Zhang Nan-Li Yin Hui, 9-21.

Cerita dalam set kedua menyaksikan mereka menunjukkan erti sebenar kebangkitan dengan mengheret perlawanan ke rubber set dengan keputusan 23-21.

Memasuki set ketiga, gandingan perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu melompat kegirangan apabila mengesahkan cabaran ke peringkat suku akhir apabila menang 21-17.

"Saya teruja dengan pukulan terakhir itu kerana mengetahui akhirnya kami menang.

"Di atas gelanggang, kami tidak boleh memikirkan tentang kemenangan, sebaliknya fokus mencari rentak," ujar Liu Ying.