Gandingan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Tee Jing Yi, dapat menarik nafas lega apabila hampir dikejutkan pasangan Perancis, Delphne Delrue-Lea Palermo, dalam saingan Piala Uber di Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Turun sebagai beregu kedua negara, ia merupakan gandingan kedua buat Vivian selepas berpasangan dengan Chow Mei Kuan ketika berdepan Indonesia serta China sebelum ini.

Berdepan lawan yang menduduki ranking ke-39 dunia, Vivian-Jing Yi bermula baik apabila mencatat kemenangan dalam set pertama.

Namun, segalanya berubah selepas itu apabila kesilapan demi kesilapan mendatangkan lebih tekanan buat Vivian-Jing Yi, sekali gus menyaksikan Delrue-Palermo merakamkan kemenangan 21-15.

Aksi dalam set penentuan berlangsung sengit apabila mencapai kedudukan 20-20, mujur Vivian-Jing Yi mendapat mata kemenangan dan mengelak diaibkan lawan.

"Perlawanan hari ini agak tegang kerana ini kali pertama Jing Yi beraksi. Tetapi, kami berjaya mengejar semula kedudukan sebelum meraih kemenangan," katanya.

Dalam masa sama, Jing Yi mengakui tidak begitu serasi dengan suasana di Impact Arena, Bangkok.

Saingan menentang Perancis menjadi aksi tunggal buat Jing Yi yang kebiasaannya digandingkan bersama Soong Fie Cho dalam beberapa pertandingan sebelum ini.

"Permainan saya hari ini agak kurang baik kerana saya belum mendapat rentak, tambahan pula keadaan gelanggang di sini agak berangin.

"Apapun, kami tetap meraih kemenangan," kata Jing Yi.