Pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, masih gagal mengatasi pasangan Jepun, Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi, selepas tersingkir dalam saingan suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2017 di Wuhan, China, hari ini.

Kali terakhir kedua-dua pasangan itu bertembung adalah dalam Sukan Olimpik Rio 2016 di mana Vivian-Khe Wei tewas dalam aksi tiga set.

Beregu negara itu, bagaimanapun, melangkah ke gelanggang kali ini dengan azam untuk menamatkan badi kekalahan kepada pasangan nombor satu dunia itu.

Aksi set pertama menyaksikan Vivian-Khe Wei ketinggalan dan gagal untuk menyaingi ketangkasan Misaki-Ayaka, lalu terpaksa akur tewas 16-21.

Reputasi sebagai pasangan nombor satu dunia jelas sekali ditampilkan Misaki dan Ayaka dalam set kedua.

Hajat beregu negara untuk kembali ke landasan merebut kemenangan terus dinafikan dengan aksi penuh konsisten pasangan beregu Jepun itu, sekaligus menamatkan cabaran mereka dengan kekalahan 21-10.

Dalam perkembangan lain, jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak berdepan masalah untuk mengatasi lawannya, Hsu Jen Hao, 21-18, 21-13.

Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, pula terkandas kepada beregu China, Lu Kai-Huang Yaqiong, 21-11, 21-19.