Vivian akui rindu beraksi bersama Khe Wei

Oleh Staff Writer 24 April 2018 3927
Vivian akui rindu beraksi bersama Khe Wei

Meskipun rindu beraksi bersama Woon Khe Wei, pemain beregu wanita Vivian Hoo, menerima hakikat perlu beraksi dengan pasangan berbeza dalam Piala Uber, bulan depan.

Khe Wei yang masih menjalani pemulihan kecederaan lutut, terpaksa disisihkan daripada skuad Piala Uber.

Dia mengalami kecederaan itu sewaktu kempen kelayakan di Alor Setar, Kedah, Februari lalu.

Meskipun terkilan dengan perkembangan itu, Vivian menganggap ini kebaikan buat kelangsungan kerjaya sahabatnya itu.

"Saya sudah lama tidak beraksi bersama Khe Wei. Buat masa ini, ia adalah keputusan yang tepat untuk dia berehat bagi memastikan kecederaannya pulih sepenuhnya," katanya.

Vivian membuktikan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan profil pemain lain dengan efektif apabila memenangi emas beregu wanita Sukan Komanwel Gold Coast 2018 berpasangan dengan Chow Mei Kuan.

Atas dasar itu, dia berasakan tidak ada masalah untuk mengulangi prestasi sama di Bangkok, bulan depan.

"Kombinasi permainan saya dan mana-mana pasangan agak berbeza dan memerlukan masa untuk mendapatkan keserasian. Kepercayaan di antara satu sama lain merupakan perkara yang penting," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen