Beregu senior negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, membuktikan keunggulan dalam aksi sulung Piala Thomas ketika meraih kemenangan 5-0 ke atas Russia di Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Berdepan bekas juara Seluruh England 2016, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov, aksi set pertama bermula penuh taktikal.

Hanya selepas kedudukan 16-16, V Shem-Wee Kiong berjaya menjarakkan diri untuk meraih kemenangan 21-18.

Set berikutnya lebih dramatik, gandingan Malaysia ketinggalan dua kali tetapi semangat luar biasa mendukung mereka untuk memastikan kemenangan straight set 21-18, 21-19.

"Pada awal pertarungan, kami cuba mendapatkan rentak ekoran situasi tidak sama seperti semasa berlatih.

"Nasib baik kami dapat menemui rentak lebih awal daripada mereka," kata Wee Kiong.

Tambah V Shem, "Mereka banyak bermain di depan jaring pada awal permainan dan ia mengganggu strategi kami. Lantaran itu, kami terpaksa menukar pendekatan dan ia menjadi."

Turut menawarkan aksi meyakinkan adalah pasangan yang baru digandingkan, Aaaron Chia dan Teo Ee Yi.

Keserasian yang terbentuk dalam waktu singkat tetap memadai untuk mereka juga melakar kemenangan straight set 21-16, 21-9.

"Perlawanan hari ini baik, kami dapat mengikut rentak kombinasi masing-masing di dalam gelanggang.

"Saya gembira kami dapat menyumbang mata walaupun Malaysia sudah mendahului 3-0," kata Aaron.

"Kami tetap cuba meraih lima mata dan kami tetap berjuang tanpa mengira siapa yang akan diturunkan nanti," kata Ee Yi.