Bintang beregu lelaki negara, Goh V Shem, mengenang waktu bergandingan bersama Tan Wee Kiong sebagai sesuatu yang istimewa sambil menegaskan kerja kerasnya bersama pasangan baru, Teo Ee Yi, sudah bermula.

"Banyak sebab (perpisahan beregu dengan Wee Kiong), mungkin ia sudah lama terpendam.

"Kami sudah cuba yang terbaik tetapi gagal.

"Mungkin ada sedikit kekesalan. Kalau perbincangan kami bagus, mungkin kami masih lagi bergandingan.

"Tetapi, saya enggan terlalu memikirkannya dan mahu fokus kepada membentuk gandingan baru dengan Ee Yi," katanya.

V Shem mula mengorak langkah dalam saingan remaja bersama bekas pemain negara, Ong Jian Guo, sebelum menempa nama ketika bergandingan bersama Lim Khim Wah.

Dalam waktu itu, dia juga pernah beraksi dengan pemain lain seperti Teo Kok Siang sebelum membentuk keserasian dalam gelanggang bersama Wee Kiong.

Buat pertama kalinya, V Shem berasakan dia memiliki kombinasi dengan pemain yang mempunyai perwatakan serupa dengannya, baik di dalam mahupun di luar gelanggang.

"Dia sangat bagus dalam rejaman, saya jarang dapat mengangkat bulu tangkisnya.

"Kami berkawan baik di luar gelanggang, hari-hari kami makan bersama."

Dalam memandang ke hadapan, V Shem akan cuba untuk kembali dalam kalangan elit bersama Ee Yi, bermula dengan aksi Siri Super Terbuka Perancis, hujung bulan depan.

"Perkara yang paling sukar adalah kami perlu melalui pusingan kelayakan selaku peserta bukan pilihan."

Kenangan manis beraksi dalam final Sukan Olimpik Rio pastinya akan sentiasa diingati V Shem, namun Ee Yi tentunya mahukan pengalaman itu dikongsi bersama dalam memantapkan gandingan mereka agar pencapaian terbaik bersama Yew Sin dalam dua kejohanan Grand Prix (GP) Emas akan diperbaharui dalam masa terdekat.