V Shem: Tolong ajar Yuchen, Junhui

Oleh Staff Writer 3 Ogos 2018 285
V Shem: Tolong ajar Yuchen, Junhui
Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, mengharapkan agar tenaga muda, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, mampu membalas kekalahan kepada wakil China, Li Junhui-Liu Yuchen, yang menyingkirkan mereka dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia, semalam.

V Shem dan Wee Kiong amat hampir untuk mara untuk ke pusingan suku akhir Kejohanan Dunia buat kali pertama, namun kesilapan pada dua mata terakhir menyaksikan mereka terpaksa menelan pahit untuk pulang awal, sekali gus akur kepada kehebatan wakil tuan rumah itu dengan keputusan 16-21, 21-15, 22-20.

Ketiadaan V Shem dan Wee Kiong bermakna Malaysia kini terpaksa bergantung harap kepada Aaron dan Wooi Yik memandangkan mereka bakal melakukan perhitungan dengan Yuchen dan Junhui.

"Aaron dan Wooi Yik menampilkan aksi terbaik dalam tiga perlawanan sebelum ini. Diharapkan mereka dapat meneruskannya," kata V Shem.

Setakat ini, Aaron dan Wooi Yik menampilkan aksi memberangsangkan untuk menumbangkan satu demi satu pilihan kejohanan.

Bagaimanapun, ia pasti tugas yang amat sukar memandangkan lawan merupakan pilihan keempat kejohanan selain mempunyai sokongan padu penyokong tatkala beraksi di laman sendiri.

"Dalam pusingan pertama, kami hanya beraksi tanpa memikirkan tekanan. Begitu juga dengan aksi semalam," ujar Wooi Yik.

"Saya harap lawan juga gentar kerana kami turun sebagai bukan pilihan. Kami hanya cuba yang terbaik dan mahu mereka mengenali kami," tambah Aaron.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen