Pemain badminton beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem, memberi bayangan tidak berminat untuk beraksi buat skuad kebangsaan di pentas Sukan SEA Filipina 2019.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menawarkan tiket ke Sukan SEA hujung tahun ini buat V Shem dan gandingannya, Tan Wee Kiong, serta rakan profesional yang beraksi bagi beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Ia selepas mereka diketepikan daripada tugasan bersama skuad kebangsaan bagi kempen berpasukan campuran Piala Sudirman yang sedang berlangsung ketika ini di China.

Bagi V Shem, pentas Sukan SEA sepatutnya menjadi medan untuk membentuk kewibawaan bakat muda.

"Saya rasa sudah tidak penting untuk saya, cuma mahu kejar sasaran ke Olimpik. Itu perlu dilihat nanti, tengok bagaimana kemudian," kata V Shem.

Dalam tempoh beberapa hari, V Shem dan Wee Kiong akan meraikan ulang tahun kelahiran mereka yang ke-30 dan angka itu membuatkan V Shem terus berkobar untuk mengutip mata kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 dalam saingan Terbuka Australia bulan depan.

"Saya rasa usia tidak penting tetapi sudah memasuki 30, sudah mula tua. Saya perlu lebih matang," tambah V Shem.