Usia bukan penghalang Chong King cabar senior 

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 1036
Usia bukan penghalang Chong King cabar senior 
Pemain perseorangan lelaki, Lim Chong King, menyahut cabaran untuk turut menyinar dan menepati ramalan ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, sebagai tonggak harapan negara di sebalik berada dalam kelas senior pada usia muda.

Pemain berusia 19 tahun dari Kuala Lumpur itu mencuri tumpuan dengan prestasi cemerlang ketika bersaing dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia, bulan lalu.

Biarpun perjalanannya tersekat di peringkat separuh akhir, dia dilihat sebagai prospek negara untuk kesinambungan dalam acara perseorangan lelaki.

Tambahan pula, kini dia diserap sebagai salah seorang anggota skuad senior yang terdiri daripada Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Soong Joo Ven untuk berlatih di bawah kendalian Hendrawan.

"Saya perlu lebih giat berlatih di samping mencapai tahap pemain senior secepat mungkin," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pagi tadi. 

Chong King mengakui daripada segi kedudukan ranking di tangga ke-373 dunia, dia masih jauh, namun kesempatan beraksi dalam dua kejohanan bulan depan, bermula dengan Terbuka Hellas, Greece, disusuli Terbuka Bulgaria yang bertaraf siri antarabangsa, akan dimanfaatkannya sebaik mungkin.

"Saya tidak perlu fikir terlalu banyak, yang penting bekerja keras dalam latihan dan ikut tahap permainan pemain lain. 

"Selain itu, saya perlu fokus dalam pertandingan dan berikan aksi terbaik," tambahnya. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen