Ujian besar buat Kian Meng

Oleh Staff Writer 19 Jun 2018 876
Ujian besar buat Kian Meng
Pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng, berdepan ujian besar dalam keperluan mengatasi tragedi keluarga susulan pemergian abangnya yang menghidap barah menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula 26 Jun ini.

Kian Meng yang diberi pelepasan sejak Khamis lalu selepas abangnya, Jiun Yong, 35, tewas kepada barah perut, kembali berlatih hari ini.

Cabaran ini pasti bersifat luar biasa jika dibandingkan dengan undian dalam Terbuka Malaysia buat dirinya dan gandingannya, Lai Pei Jing, yang perlu memulakan kempen menentang jaguh China dan pilihan kelima, Zhang Nan-Li Yinhui.

"Beberapa bulan lalu ketika abangnya jatuh sakit, saya lihat ia memberi kesan kepada Kian Meng," kata Pei Jing. 

Meskipun menampakkan kematangan dalam menangani situasi sukar itu, ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, lebih mengetahui apa yang sedang dilalui anak buahnya itu.

Cheh Chang pernah berada dalam situasi yang hampir sama kalau tidak lebih mencabar, perkongsiannya mendedahkan jurulatih itu menjadi anak yatim piatu pada usia lapan tahun.

"Dalam tempoh sukar itu, saya sempat menasihati dan memberi galakan kepadanya kerana ini merupakan langkah yang perlu dipelajarinya ketika berdepan tempoh sukar, begitu juga semasa di dalam gelanggang.

"Dari segi luaran, dia kelihatan tidak apa-apa, namun saya akan tetap cuba menasihatinya," kata jurulatih itu lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen