Hasrat gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, untuk menamatkan saingan Terbuka Indonesia 2018 dengan mahkota juara lebur apabila tunduk di tangan gandingan tuan rumah, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, 21-17, 21-8 di Jakarta, sebentar tadi.

Selepas menewaskan pasangan nombor dua dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China, Peng Soon dan Liu Ying dilihat memiliki aura sama ketika berdepan Tontowi dan Liliyana yang merupakan pilihan utama kejohanan.

Set pertama tampak begitu sengit dan jauh daripada apa yang pernah dipamerkan Peng Soon-Liu Ying ketika pertemuan terakhir dengan pasangan nombor tiga dunia dari Indonesia itu dalam final Sukan Olimpik Rio, dua tahun lalu

Bagaimanapun, prestasi hebat tidak dapat dikekalkan sehingga ke penghujung set, sekali gus terperangkap dengan kekalahan 21-17.

Kebangkitan yang diharapkan dalam set kedua daripada gandingan negara itu pantas disekat Tontowi-Liliyana apabila terus menjarakkan mata dengan wakil Malaysia itu yang menghuni ranking ke-11 dunia, sebelum set kedua diakhiri dengan keputusan 21-8 dalam masa 38 minit.

Kekalahan itu bermakna Malaysia terus gagal menamatkan penantian untuk meraih status juara dalam kategori itu.