Tiket Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata dijual Jumaat ini

Oleh Rudi Affendi Khalik 29 Mac 2017
Tiket Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata dijual Jumaat ini
Peminat yang ingin mendapatkan tiket Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata diminta membelinya di Stadium Perpaduan Sarawak di Petra Jaya pada Jumaat, bukannya hari ini seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri, Dr Ong Kong Swee ketika dihubungi berkata, mereka yang telah membeli tiket melalui ejen jualan sebelum ini turut dinasihatkan mendapatkan tiket rasmi di lokasi yang sama, pada tarikh berkenaan.

"Pihak kami memohon maaf atas kesulitan berhubung kelewatan dalam mengedar dan menjual tiket rasmi ini kerana perlu menambah elemen keselamatan pada tiket yang sedang dicetak, sebelum diedarkan.
   
"Kerja-kerja penambahan itu telah pun selesai dan kami meminta peminat badminton agar mendapatkan tiket mereka bermula jam 11 pagi hingga 5 petang pada Jumaat ini," katanya.
   
Katanya, ketika ini permintaan untuk tiket agak luar biasa dan penjualannya telah menjangkau peminat dari Jepun, India, Thailand, Filipina, Indonesia, dan Brunei.
   
"Suka saya mengingatkan peminat agar membeli tiket-tiket ini daripada penjual yang sah dan tidak terpengaruh dengan jualan di pasaran gelap.
  
"Malah saya memohon agar semua pihak lebih berwaspada agar tidak tertipu dengan tiket-tiket palsu," katanya.
   
Katanya, atas permintaan ramai, tiket-tiket untuk pusingan akhir dan separuh akhir kejohanan tersebut masih dijual tetapi pada jumlah yang terhad.
  
"Kita akan menjual berdasarkan siapa yang dahulu, dia yang dapat," katanya.
   
Setiap individu katanya, hanya dibenarkan membeli dua keping tiket manakala mereka yang telah membeli melalui ejen, dikehendaki membawa bersama-sama resit asli dan membawa kad pengenalan, untuk menuntut tiket rasmi.
  
Sehingga Isnin lalu, seramai 299 pemain telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan berstatus siri super itu termasuk jaguh dunia Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan.

Tentang Penulis

Rudi Affendi Khalik

Komen