Juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, tidak tergugat dengan kehadiran bakat muda baru dalam kem perseorangan lelaki kebangsaan ketika dia cuba untuk bangkit daripada siri kecederaan berpanjangan.

Nama pemain berusia 20 tahun itu semakin tenggelam di sebalik kejayaan perseorangan muda seperti Lim Chong King, Ng Tze Yong dan Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Bagaimanapun, dia menegaskan tidak terancam dengan rakan lebih muda yang dilihat layak diberi pujian.

Dia terpaksa menjalani pemulihan dan penampilan terhad dalam kejohanan kompetitif bagi menangani kecederaan pinggul berpanjangan.

"Saya rasa bagus juga kerana ada saingan untuk saya. Saya baru pulang daripada kejohanan dan sedang mencari saingan seterusnya. Saya tahu mungkin kepulangan ini tidak mudah," katanya.

Di bawah kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Jun Hao hanya beraksi dalam tiga saingan antarabangsa.

Selepas ini, dia dijadualkan untuk beraksi dalam Siri Antarabangsa Indonesia bermula 22 Oktober ini dengan sasaran untuk mencabar kejuaraan.

"Saya bebas daripada kecederaan tetapi masih perlu lalui proses pemulihan. Agak risau kerana masih takut. Saya hanya kejar keputusan dan dalam masa sama, saya akan lakukan yang terbaik."