Tiada tekanan buat skuad Piala Uber 

Oleh Staff Writer 25 Januari 2020 112
Tiada tekanan buat skuad Piala Uber 
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, tidak meletakkan tekanan kepada skuad muda yang dipertaruhkan  memburu tiket ke Piala Uber dan Piala Thomas di Manila, Filipina bulan depan dan menyifatkan ia sebagai pengorbanan demi kejayaan masa depan.

Menurutnya, ia antara inisiatif untuk memastikan Projek 2024 bergerak selari dengan perancangan supaya BAM tidak ketandusan pemain yang mampu layak ke Sukan Olimpik seterusnya.

Dalam Kejohanan Berpasukan Asia kali ini, beliau menuntut barisan pemain supaya memanfaatkan peluang dan menjadikan ia sebagai medan berharga untuk meluaskan pengalaman dengan baik.

Tambahnya, pengorbanan itu turut mampu mendekatkan jurang dengan pencabar lain yang dilihat semakin hebat di peringkat kompetitif.

"Kami tidak meletakkan tekanan kepada skuad Piala Uber atas dasar kapasiti dan kebolehan mereka.

"Namun, saya berharap semua pemain BAM, apabila berada di peringkat tinggi, agar menggunakan peluang itu sehabis baik," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. 

Sementara itu, presiden BAM berkenaan menjelaskan keputusan untuk mempertaruhkan barisan pemain muda juga merupakan langkah pertama bagi membantu pembikinan skuad wanita negara.

"Pasukan wanita masih di peringkat pembikinan dan rata-ratanya mungkin kali pertama didedahkan (dalam kejohanan) di peringkat tinggi. 

"Ia langkah pertama, jadi saya berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada mereka bagi melihat hasilnya kelak."



Editor: Shaiful Shamsudin
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen