Ketua jurulatih beregu wanita yang baru, Rosman Razak, menegaskan selain gandingan baru, Chow Mei Kuan dan Vivian Hoo, tiada rombakan drastik terhadap struktur barisan pemain sedia ada kerana masa sudah semakin suntuk untuk menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan.

Rosman, yang sebelum ini bertindak selaku penolong jurulatih dalam skuad beregu lelaki, kini dinaikkan pangkat membimbing skuad beregu wanita.

Dengan pembukaan Sukan Komanwel hanya berbaki kurang dua bulan, Rosman perlu menggunakan sentuhan magis sebagaimana dia pernah membantu Vivian dan pasangannya, Woon Khe Wei, memenangi emas ketika edisi di Glasgow pada 2014.

Dengan Khe Wei mengalami kecederaan manakala pasangan Mei Kuan, Lee Meng Yuen, ditimpa nasib sama, Rosman berasakan untuk sementara waktu, Vivian dan Mei Kuan mampu menjadi pasangan efektif untuk kem negara.

"Untuk kejohanan terdekat ini, semua orang tahu pasal Sukan Komanwel dan baru-baru ini Khe Wei pun cedera. Tetapi sasarannya tetap sama, kami perlukan emas dalam temasya sukan itu.

"Saya rasa itu tugas jangka pendek untuk saya dan menyelaraskan semula pasukan beregu wanita," katanya.

Rosman juga menjelaskan dia dengan bekas ketua jurulatih beregu wanita sebelum ini, Wong Pei Tty, tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama. Pei Tty kini menyandang jawatan pembantu kepada Rosman.

"Saya rasa Pei Tty telah melakukan tugas dengan sangat baik setakat ini. Sebelum inipun, kami pernah bekerjasama, dia pernah menjadi pembantu saya dalam pasukan beregu wanita.

"Saya rasa hubungan kami tiada masalah langsung, dia berbesar hati menerima saya sebagai ketua dia," kata Rosman lagi.

Rosman sebelum ini mengendalikan dua pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, di mana pencapaian terbaik kedua-dua pasangan itu ialah masing-masing memperoleh naib juara Masters Malaysia dan naib juara Terbuka New Zealand.