Kanser hidung yang dialami awalnya tidak mematikan kerjaya legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, sewaktu dia kembali ke gelanggang latihan awal tahun ini.

Kegagalan demi kegagalan untuk kembali menjejakkan kaki ke pentas kompetitif menyerlahkan hakikat kebangkitan luar biasa itu menjadi satu perkara yang mustahil.

Hanya ketika pengaruhnya semakin dirindui di Akademi Badminton Malaysia tanpa latihan sepanjang enam minggu sejak hujung April lalu, khabar angin persaraannya mula bertiup kencang.

Bagaimanapun, tanggal 13 Jun 2019 menjadi saksi, demi menghabiskan hayat bersama keluarga, Chong Wei akur dengan pengumuman untuk bersara atas nasihat pakar perubatan.

"Mungkin hari ini saya mahu mengumumkan persaraan saya setelah 19 tahun bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Keputusan ini sangat sukar," katanya.

"Doktor menjelaskan latihan dalam sukan badminton terlalu berkeamatan tinggi dan selepas berbincang dengan isteri saya dan doktor, mereka menyarankan saya untuk berehat. Kesihatan saya lebih penting."

Chong Wei meninggalkan dunia badminton dengan 47 kejuaraan elit bertaraf terbuka yang mengangkatnya sebagai raja Siri Super, selain penampilan dalam tiga final Olimpik yang menyaksikan dia begitu hampir merealisasikan sebuah aspirasi.

Namun, adakah dia mengucapkan selamat tinggal kepada badminton tanah air dalam keadaan ada penerus legasi untuk dijulang Malaysia satu hari nanti?

"Apa yang penting ialah apa yang pemain mahukan. Saya selalu katakan jika ada jurulatih terbaik datang ke Malaysia, ia tetap tidak boleh menjadi jika tidak diterima secara peribadi. Kemahuan anda, itu yang penting," tambah Chong Wei.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia. Tiada Malaysia, tiada Lee Chong Wei selama 19 tahun dalam skuad kebangsaan. Terima kasih."